
JOHOR BAHRU - Debaran kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin terasa apabila petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat mula sibuk mempersiapkan pusat mengundi bagi kegunaan esok.
Tinjauan di beberapa pusat mengundi sekitar bandar raya ini mendapati, kebanyakan saluran sudah hampir dilengkapi dengan peralatan disediakan petugas SPR sebelum semua peti undi dibawa masuk.

Petugas SPR dilihat turut menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pengundi.
Antaranya, mereka dilihat mengukur dan menanda jarak satu meter pada barisan pengundi, selain jarak antara pengundi dengan petugas SPR khususnya ketika proses semakan nama dan proses mencelup dakwat.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi dan 4,638 saluran akan dibuka esok, melibatkan 49,290 petugas.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah menjalankan semakan ke atas semua peralatan seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya sejak pagi tadi.
Katanya, ia bagi memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik.
"Peralatan ini diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi," katanya.
Menurut SPR, seramai 2,539,606 orang pemilih bakal mengundi pada PRN esok.
Mereka boleh mula keluar mengundi seawal jam 8 pagi hingga 6 petang.
Tepat jam 11.59 minit malam ini pula, kempen atau aktiviti merayu undi melibatkan semua calon bertanding, ahli atau penyokong parti akan ditamatkan serta merta. - Getaran, 11 Mac 2022

