Samsung Galaxy Fit 2 kembali dijual di Malaysia, harga tidak berubah

Digital
11 Mar 2022 • 4:31 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Gelang penjejak kecergasan Samsung Galaxy Fit 2, kini kembali dijual di Malaysia. Ia telah dilancarkan pada November 2020 dan pada waktu itu, diumumkan berharga RM179. Kini selepas 16 bulan, Samsung Malaysia akan menjualnya pada harga RM179 juga. Tiada perubahan harga.

Harga yang kekal ini mungkin kerana tiada model pengganti untuk Galaxy Fit 2 dilancar dalam masa terdekat. Jadi, mengapa mahu turun harga kalau masih boleh dijual dengan harga yang sama kan?

image is not available

Pilihan warna juga masih sama, masih antara dua warna iaitu oren atau hitam. Jika berminat, dapatkannya sekarang daripada Stor Online Samsung Malaysia.

Spesifikasi Galaxy Fit 2

image is not available

Samsung memasarkan gelang kecergasan ini dengan hayat bateri yang sangat panjang, sehingga 21 hari dengan sekali cas penuh. Ia memiliki skrin sentuh AMOLED yang sangat cerah, berukuran 1.1-inci.

Sebagai penjejak kecergasan, Galaxy Fit 2 dilengkapi sensor seperti pemecut akselerometer, giro dan pengimbas denyutan nadi. Dengan sensor ini, pengguna boleh memantau jumlah langkah, kualiti tidur, serta tahap denyutan nadi sepanjang hari.

image is not available

Selain menjejak aktiviti kecergasan, Galaxy Fit 2 turut hadir dengan fungsi pintar seperti memaparkan notis dari peranti, mengawal lagu dari peranti dan membalas pesanan ringkas. Ia boleh dihubungkan dengan peranti Android dan iOS, menerusi sambungan Bluetooth 5.1 dan aplikasi Samsung Health.

Peminat sukan air juga tidak perlu risau menggunakan Galaxy Fit 2 kerana ia kalis air 5ATM, boleh tenggelam sehingga 50 meter di dalam air. Di waktu pandemik COVID-19 kini, Galaxy Fit 2 juga boleh memberi peringatan supaya pengguna mencuci tangan dengan bersih selama 20 saat.