Visual luar biasa hanya suntingan

6 Mar 2022 • 11:29 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sebarang visual luar biasa mengenai Sabah pasti mencipta pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Sabah di serata Internet.

Dan baru-baru ini, sekeping gambar yang memaparkan awan berbentuk peta Sabah di latar belakang Menara Kinabalu menjadi tular di media sosial, termasuk dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp.

Walaupun ada yang kagum dengan gambar terbabit, ada juga yang ragu-ragu tentang kesahihannya.

Semakan di media sosial mendapati ia telah disunting kerana imej asalnya diambil oleh jurugambar tempatan Louis Pung.

Ketika dihubungi, Pung meluahkan rasa tidak puas hati kerana gambarnya dimanipulasi tanpa persetujuannya.

“Saya rasa ia kurang sopan untuk seseorang menyunting gambar saya dan menjadikannya tular di media sosial tanpa meminta kebenaran saya,” katanya kepada Harian Ekspres, Sabtu.

“Sila hormati hak cipta dan kerja keras orang lain… sila berbudi bahasa untuk meminta kebenaran daripada jurugambar sama ada foto itu boleh digunakan untuk tujuan anda sendiri.”

Louis Pung

Mengenai gambar berkenaan yang diambil pada masa yang sempurna, jurugambar berumur 35 tahun itu menyifatkannya hasil kesabarannya dan tuah.

“Foto itu diambil pada Julai 2020 di Tanjung Lipat. Saya hanya bernasib baik kerana menunggu awan bergerak ke bahagian tengah dan saya merakamkannya. Saya mengambil masa kira-kira sejam hanya untuk mengambil gambar pemandangan itu.

“Sebenarnya, saya memuatnaik gambar sama pada 2020, tetapi hanya segelintir yang menyedarinya. Baru-baru ini, saya sibuk mengambil gambar perkahwinan dan potret. Sebab itu, saya tidak ada sebarang gambar baharu untuk dikongsi, jadi saya menghantar semula gambar tersebut beberapa hari lalu,” katanya.

Dan tanpa dia jangka, kali ini, gambar terbabit tular - ketika berita ini ditulis, ia menerima lebih 5,000 reaksi dan lebih 500 perkongsian di laman Facebook rasminya, Louis Pung Photography.