Hentikan Lesen Pembalakan Jika Serius Pulihara Alam, Hidupan Liar

17 Mar 2022 • 10:24 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kemunculan Harimau Malaya di merata tempat memperlihatkan negara kekurangan kawasan hutan sebagai habitat untuk kehidupan haiwan liar. - Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia

KUALA LUMPUR - Jika benar kerajaan serius untuk memulihara alam sekitar dan spesis haiwan liar terancam, hentikan atau tamatkan lesen pembalakan di seluruh negara serta merta, kata Persatuan Haiwan Malaysia (MAA).

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, setelah 67 tahun mengecapi kemerdekaan dan menarah hutan untuk pelbagai tujuan atas faktor ekonomi, sudah tiba masanya negara menukar kaedah bagi meningkatkan sumber pendapatan.

Menurutnya, sumber ekonomi berteraskan pembalakan bukanlah bersifat jangka panjang dan hanya menguntungkan satu pihak, serta mengundang bencana seperti yang berlaku kebelakangan ini.

“Pemimpin harus mencontohi negara yang tidak bergantung kepada sumber hutan dan menggunakan kekuatan sumber daya lain seperti pelabuhan, perdagangan dan menguruskan hasil bumi sedia ada, misalnya petroleum sebaik mungkin.

“Ia bertujuan untuk mengelakkan kemusnahan alam semula jadi dengan lebih teruk,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu serius dalam memulihara alam sekitar dan spesies terancam seperti Harimau Malaya yang kini angkanya semakin berkurangan dengan hanya berbaki 100 ekor di seluruh negara.

“Kemunculan Harimau Malaya di merata tempat kebelakangan ini memperlihatkan bahawa negara kekurangan kawasan hutan sebagai habitat untuk kehidupan haiwan liar.

“Paling menyedihkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) giat memulihara spesis terancam seperti Harimau Malaya namun jabatan yang sepatutnya menguruskan dan melindungi hutan serta kerajaan negeri pula sibuk meluluskan lesen pembalakan,” katanya.

Arie turut berkongsi foto terbaharu penampakan Harimau Malaya yang tersasar daripada habitat asalnya di FELDA Kerteh, Paka, Terengganu. - Getaran, 17 Mac 2022