
BEAUFORT: Seorang jururawat berumur 44 tahun mengalami kerugian RM50,000 akibat terpedaya dengan taktik penipuan Macau Scam oleh individu yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Polis Daerah, Yusoff Zaki Yaccob, ketika mengesahkan kejadian itu pada Selasa berkata jururawat berkenaan menerima panggilan tersebut pada kira-kira jam 3.30 petang, Isnin lalu.
“Individu yang menghubunginya memaklumkan bahawa nama mangsa didaftarkan atas nama sebuah syarikat dan mempunyai tunggakan cukai tidak dibayar berjumlah RM38,800.
“Wanita itu yang tidak mengesyaki apa-apa akur apabila panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Komersial.
“Menurut ‘pegawai polis’ itu, satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap wanita itu,” katanya.
Merasa cemas, mangsa memberikan butiran akaun bank dan kata laluan miliknya, kata Yusoff Zaki.
Sekitar jam 9 malam Isnin lalu, mangsa merasa curiga dan menyemak akuan banknya dan mendapati wang simpanannya berjumlah RM50,000 telah dipindahkan ke Duitnow.
“Menyedari dirinya telah ditipu, wanita itu membuat laporan polis pada 10.30 malam tadi (Isnin),” katanya sebelum menambah siasatan ke atas kes itu di buat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Yusoff Zaki mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak melayani sebarang panggilan meragukan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
