PBS harap Undang-Undang Anti Lompat Parti dilulus di Parlimen

Politics
7 Mar 2022 • 11:54 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dapat diluluskan di Parlimen.

Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata sebagai antara parti perintis RUU itu, selepas 37 tahun akhirnya Parlimen bersetuju dengan PBS mengenai keperluan mewujudkan Undang-Undang Anti Lompat Parti di negara ini.

“Saya menegaskan PBS sememangnya menentang kelakuan sedemikian. Kelakuan sedemikian umpama dosa, ia adalah pegangan politik yang tidak berprinsip.

“Bagi kami, perbuatan lompat parti sangat jahat, tidak adil, tidak mempunyai etika dan adab yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-37 parti itu di sini malam Sabtu lepas yang dihadiri kira-kira 150 tetamu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat termasuk RUU Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), juga berkata sejak penubuhan PBS pada 1985, parti itu diuji dengan pelbagai cabaran, ada yang mengherdik malahan segelintir meramalkan ia tidak akan bertahan lama.

“Tetapi kami telah buktikan mereka salah. Kami masih di sini dan akan terus berjuang untuk kebaikan rakyat serta Sabah,” katanya.

Beliau berkata PBS akan terus menyokong penuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sambil menambah ketabahan dan semangat kuat parti itu adalah tunjang perjuangan untuk mengukuhkan lagi gabungan politik tersebut.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.