Anwar sokong keluar simpanan KWSP selepas nasib mangsa banjir diabai

9 Mar 2022 • 8:52 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 9 MAC: Ketua Pembangkang mahu kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika tiada usaha untuk membantu rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keluhan dalam kalangan rakyat yang semakin terdesak terutama mangsa banjir, mendorongnya mengubah fikiran.

“Saya terus mendengar keluhan dalam kalangan rakyat yang hari ini berada dalam keadaan yang amat terdesak dan menekan, terutamanya dalam jelajah saya di seluruh Johor yang sedang berlangsung.

“Justeru, setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran ini dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Katanya, kebimbangan bahawa pengeluaran simpanan KWSP akan memberi kesan kepada simpanan pencarum pada masa hadapan, menyebabkan beliau keberatan menyokong usul itu ketika dibentangkan di Dewan Rakyat tahun lalu.

“Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP.

“Namun, setelah berbulan berlalu, nampaknya kerajaan dan Menteri Kewangan Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) tidak mempedulikan desakan ini,” kata presiden KEADILAN itu.

Anwar berkata, pada masa sama kerajaan juga perlu mengambil kira nasib rakyat yang tidak mencarum dengan KWSP.