
SANDAKAN: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa melepas dan membebaskan dua syarikat yang dituduh menceroboh hutan simpan dan melakukan pembalakan haram di daerah Tongod tujuh tahun lepas.
Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan Syarikat Maxland Sdn Bhd dan Better Green Sdn Bhd berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mengikut fakta kes, bagi pertuduhan pertama, Syarikat Maxland Sdn Bhd dan Better Green Sdn Bhd dituduh menebang 503 pokok balak di Hutan Simpan Trus Madi di daerah Tongod antara 5 September 2016 hingga 19 November 2017 yang mana ia dilakukan tanpa kebenaran atau lesen yang sah di bawah Enakmen Hutan 1968.
Kedua-dua syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 20 (2) Enakmen Hutan 1968 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM500,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dua syarikat itu dituduh menebang 54 pokok balak tanpa kebenaran atau lesen yang sah di bawah Enakmen Hutan 1968 di kawasan tanah kerajaan di Kampung Lalampas di daerah Tongod pada tarikh dan tahun sama seperti pertuduhan pertama itu.
Kesalahan itu dituduh di bawah Seksyen 23 (2) Enakmen Hutan 1968 yang juga membawa hukuman serupa.
Dua pertuduhan tersebut difailkan pada Disember 2019.
Manakala pendakwaan dilakukan pada 20 Januari 2020 dan perbicaraan dimulakan pada Mac tahun sama sebelum keputusan akhir pada Selasa.
Kedua-dua syarikat itu diwakili peguam Ronny Cham.
Pengarah dan wakil kedua-dua syarikat itu turut hadir.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari berhubung keputusan itu, bagaimanapun, ia bergantung kepada arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Barang kes yang disita dalam kes itu juga akan dikembalikan semula kepada pemilik selepas 14 hari jika tiada rayuan dibuat oleh pihak pendakwaan dalam tempoh berkenaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
