
Kota Kinabalu: Jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah meneruskan trend penstabilan dengan 245 kes baharu dicatatkan pada Ahad, 24 kes lebih rendah berbanding Sabtu lepas.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hampir semua daerah di Sabah mencatatkan penurunan dari segi jumlah jangkitan harian termasuk sifar kes di enam daerah, iaitu Kalabakan, Tongod, Nabawan, Kunak, Telupid dan Semporna.
“Hanya lima daerah mencatatkan pertambahan jumlah kes harian,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Beliau menambah, kecuali Kota Kinabalu (97 kes) yang mencatat pertambahan hampir tiga kali ganda daripada 36 kes Sabtu lepas, daerah-daerah lain hanya melaporkan jumlah pertambahan marginal.
“Sebanyak 15 daerah mencatatkan kes baharu satu angka, enam daerah dengan dua angka dan enam lagi daerah tidak mencatat sebarang kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, risiko jangkitan secara sporadik kekal tinggi dan hari ini, 59.59 peratus dari semua kes baharu.
“Oleh itu walaupun jumlah jangkitan baharu di Sabah semakin terkawal tetapi amatlah disarankan agar rakyat terus mematuhi semua SOP yang dikuatkuasakan,” katanya.
Seramai 242 orang atau 98.77 peratus dari 245 pesakit baharu pada Ahad adalah dalam Kategori 1 dan 2, seorang dalam Kategori 3 dan dua pesakit dalam Kategori 4.
“Tidak ada kes baharu dalam Kategori 5 pada Ahad,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
