
Kota Kinabalu: Seorang tukang cuci berumur 59 tahun pada Selasa dihukum penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menyebabkan kematian isterinya di sini, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Amelati Parnell menjatuhkan hukuman itu terhadap Sitimon Eging (gambar) kerana melakukan jenayah itu ke atas Lupini Moliu, 67, antara pukul 1.30 pagi dan 7.26 petang pada 28 Ogos, 2018 di sebuah rumah di Kg Kopungit di sini.
Sitimon disabitkan atas pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dia pada awalnya didakwa membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah pada 7 Mac meminda pertuduhan asal iaitu membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada pertuduhan lebih ringan iaitu homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dengan memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas pertuduhan asal.
Pendakwaan memanggil 13 saksi sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Sitimon mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu dan mahkamah menangguhkan hukuman itu kepada 15 Mac berikutan permohonan tarikh lain oleh peguamnya untuk menyediakan hujahan bertulis. Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili Sitimon, bersama peguam Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, memohon hukuman penjara minimum 12 tahun dari tarikh dia ditangkap.
Shahlan antara lain berhujah bahawa Sitimon merupakan pesalah kali pertama dan menunjukkan penyesalan yang besar serta memohon maaf atas tindakannya itu.
Sitimon ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa atas kematian wanita itu akibat tindakannya, kata Shahlan, sambil menambah, dengan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaaan itu menjimatkan masa dan kos kehakiman untuk memanggil saksi tanpa meneruskan perbicaraan penuh. Sebelum kesalahan itu, Sitimon merupakan seorang suami yang baik, penyayang dan mengambil berat terhadap mangsa, kata Shahlan, sambil menambah Sitimon bersama abangnya membawanya ke hospital untuk rawatan.
Sitimon juga cuba membunuh diri selepas menyedari tindakannya telah mengakibatkan kematian orang yang disayanginya, tambah Shahlan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Azreen Yas Mohamad Ramli menggesa agar hukuman pencegahan dikenakan.
Kes sekarang membabitkan kehilangan nyawa isteri Sitimon, yang dipukul olehnya atas alasan dia pulang ke rumah dalam keadaan lapar dan tidak menemui apa-apa untuk dimakan, kata DPP Azreen.
“Daripada keterangan saksi-saksi pendakwaan, ia menunjukkan tertuduh sering bertengkar dengan si mati dan kemudiannya berlaku pergaduhan antara mereka.
“Ia lebih sesuai untuk mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi bagi menggambarkan keseriusan kesalahan itu,” kata DPP Azreen.
DPP Azreen juga berhujah mahkamah harus menimbangkan fakta bahawa Sitimon memukul Lupini yang menghidap strok dan darah tinggi.
“Hakikat bahawa tertuduh mabuk pada malam itu juga merupakan satu lagi faktor yang perlu ditimbangkan oleh mahkamah untuk memberikan hukuman lebih tinggi memandangkan kejadian ini boleh dielakkan sekiranya tertuduh tidak mabuk,” kata Azreen
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

