MOSTI bangunkan padi rintang banjir

11 Mar 2022 • 1:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia telah memulakan penyelidikan bagi menghasilkan benih padi dikenali sebagai IS22 yang berdaya tahan tinggi jika ditenggelami air, khususnya apabila berlaku banjir.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba menyambut baik permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke arah komitmen kerajaan bagi membantu petani dan pesawah tidak mengalami kerugian jika tanaman mereka terjejas berikutan cuaca ekstrem tidak menentu ketika ini.

Beliau berkata, Agensi Nuklear Malaysia sentiasa proaktif mencari pelbagai kaedah penambahbaikan menggunakan teknologi nuklear dan bertindak berdasarkan isu perubahan cuaca global.

“Untuk makluman, penyelidikan benih padi IS22 ini adalah dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta bantuan teknikal daripada Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Jepun di bawah platform 'Forum Nuclear Cooperation in Asia'.

“Seorang pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia ketika ini sedang membuat kajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) untuk mendapatkan padi yang rintang kepada banjir (submerge) di mana padi IS21 dikahwinkan dengan kaedah kacukan balik dengan varieti yang tahan banjir dan matang awal,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Ismail Sabri meminta MOSTI dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bekerjasama membangunkan dua varieti padi baharu yang tahan lasak ditenggelami banjir dan tidak perlu menggunakan air yang banyak.

Katanya, pembangunan dua varieti padi baharu itu dapat mengurangkan kerugian ditanggung pesawah serta petani apabila berlaku bencana banjir yang menenggelamkan sawah padi malah boleh meningkatkan pendapatan.

Mengulas lanjut, Adham berkata, pada tahun ini juga, Agensi Nuklear Malaysia sedang menjalankan penyelidikan padi tahan kemarau menggunakan padi tradisional wangi hitam diaruh mutasi menggunakan alur ion khidmat sinaran yang diperoleh daripada 'Quantum and Radiological Science and Technology' (QST).

“Kajian ini mungkin mengambil masa beberapa tahun dan memerlukan dana penyelidikan sebelum satu varieti yang berpotensi dihasilkan untuk kegunaan petani dan pesawah,” jelasnya.