Hujan Lebat Berterusan, Lembah Klang Banjir Lagi

7 Mar 2022 • 6:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota Bomba dan Penyelamat membantu mengalihkan kenderaan orang awam yang ditenggelami air ekoran hujan lebat di Lorong Gurney hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di ibu negara dan Selangor dilanda banjir kilat, susulan hujan lebat selama lebih dua jam sejak tengah hari tadi.

Di Selangor, kawasan yang terjejas akibat banjir kilat adalah di Sungai Buloh, Rawang, Klang dan Gombak.

Sementara itu, di Kuala Lumpur daerah Cheras, khususnya di Jalan Kuchai Lama dilaporkan terjejas teruk apabila beberapa akibat jalan utama dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Turut dinaiki air hingga mengakibatkan kenderaan terkandas ialah Susur Menara PGRM, Jalan Tasik Selatan, Lebuhraya KESAS berhampiran Awan Besar, Bukit Jalil, Jalan Chan Sow Lin, Pekan Salak South dan sekitar Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

image is not available
Anggota Bomba membantu orang awam yang terlibat dengan banjir di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. - Gambar Bernama

Turut terjejas adalah komplek beli belah Sunway Velocity yang terletak di Taman Maluri.

Selain banjir kilat, hujan lebat dan angin kencang turut mengakibat empat pokok tumbang di kawasan tempat letak kereta Hospital Cancelor Tuanku Muhriz (HTCM) Cheras.

Kejadian itu mengakibatkan sebanyak 23 kereta dan sebuah van rosak akibat dihempap pokok terbabit.

image is not available
Sebanyak 23 kereta dan sebuah van rosak akibat dihempap pokok di HTCM Cheras. - Gambar ihsan Bomba

Difahamkan, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JBPM Kuala Lumpur sudah berada di lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja mengalihkan pokok terbabit. 

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, berkata terdapat 50 buah rumah dinaiki air setinggi 0.3 meter di Sungai Buloh setakat jam 5 petang tadi namun tiada pemindahan dilakukan setakat ini.

“Daerah Klang juga mengalami masalah sama, apabila air dilaporkan naik di beberapa kawasan iaitu di Persiaran Hamzah Alang, Pekan Kapar, Taman Meru Daya, Jalan Sesenduk Meru, Jalan Cempaka dan Jalan Paip,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Turut dinaiki air sehingga paras betis ialah rumah penduduk serta asrama perempuan pekerja kilang Top Glove.

image is not available
Anggota Bomba memindahkan seorang warga emas selepas rumahnya di Kampung Periuk, Jalan Raja Bot dinaiki air.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur mengeluarkan tiga individu termasuk warga emas selepas rumah didiami mereka di Kampung Periuk, Jalan Raja Bot dinaiki air.

Seramai enam anggota bomba digegaskan ke lokasi sebaik menerima maklumat berhubung kejadian banjir kilat terbabit.

Kampung Periuk dilaporkan dinaiki air setinggi 0.5 meter akibat hujan lebat sejak jam 2 petang tadi. - Getaran, 7 Mac 2022