Mayat Pelatih AMD Ditemui, Termasuk Dalam Paip Penyedut Pasir

24 Mar 2022 • 9:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jasad Muhammad Saiful dibawa keluar dari paip penyedut pasir setelah ditemui kira-kira jam 5.46 petang tadi.

BALING - Mayat pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bawah 14 tahun yang hanyut dibawa arus ketika mandi bersama rakan-rakannya Sungai Limau dekat Kampung Padang Temu semalam, akhirnya ditemui petang tadi.

Ketua Zon 3 (Kulim), Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, mayat Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14 ditemui dalam paip penyedut pasir kira-kira jam 5.46 petang tadi.

Katanya, penemuan mangsa dilaporkan oleh penjaga pam tersebut.

“Dianggarkan jarak mangsa ditemui dari kedudukan dia dilaporkan hilang adalah kira-kira sembilan kilometer.

“Sebaik dibawa keluar, jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

image is not available
Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa

Muhammad Saiful Ezzudin semalam dilaporkan hanyut dibawa arus ketika mandi bersama rakan-rakannya di sungai tersebut kira-kira jam 1 petang.

Sebaik dibawa arus, rakan-rakannya cuba mencari mangsa namun gagal menemuinya sebelum bertindak memberitahu keluarga mangsa yang kemudiannya membuat laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.11 petang.

Mengulas lanjut Rahimi berkata, kelajuan air ketika misi mencari dan menyelamat itu dijalankan mencecah tiga knot (5.5 kilometer per jam) dengan kedalaman sungai dianggarkan hampir satu meter.

“Pelbagai kaedah digunakan untuk mencari termasuk di kawasan mangsa mungkin tersangkut, penggunaan unit anjing pengesan (K9) serta khidmat jentera berat untuk mengalihkan rimbunan buluh di sungai,” katanya. - Getaran 24 Mac 2022.