Menteri Minta UiTM Jelaskan Isu Pensyarah Hina Pelajar, B40

30 Mar 2022 • 2:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Noraini Ahmad - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberi penjelasan berhubung dakwaan seorang pensyarahnya menghina pelajar yang tidak memiliki komputer riba sehingga menerima respon serta kecaman pelbagai pihak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya sudah berhubung dengan pengurusan universiti awam (UA) berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini.

“Saya sudah berhubung dengan pihak UiTM untuk meminta penjelasan mereka,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu, tular satu klip video memaparkan tindakan seorang pensyarah UA yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap pelajar kerana tidak mempunyai komputer.

image is not available
Pensyarah terbabit memarahi pelajar yang tidak mempunyai komputer riba. - Tangkap layar dari video media sosial

Menerusi paparan video itu, kelihatan pensyarah tersebut yang sedang mengajar secara dalam talian bertanyakan soalan kepada pelajar mengenai silibus subjek dipelajari.

Namun jawapan diberikan seorang pelajar yang tidak tepat, membuatkan pensyarah tersebut bertanya kepada pelajar terbabit apa peralatan digunakannya untuk belajar dan adakah dia menggunakan telefon bimbit.

Mendengar pelajar itu memaklumkan dia tidak memiliki komputer riba, mengundang pertanyaan kasar daripada pensyarah terbabit berhubung keberadaan dan latar belakang ibu, ayah serta adik beradiknya. 

Lebih membangkitkan kemarahan orang ramai apabila pensyarah itu mengatakan kepada pelajar berkenaan supaya meminta kakaknya menjual gelang emas untuk membelikannya komputer.

Semakin melampau, pensyarah itu menegaskan beliau tidak boleh duduk dengan golongan B40 kerana mereka lebih memikirkan mengenai perkara lain berbanding pelajaran. – Getaran, 30 Mac 2022