
Apabila Microsoft melancarkan konsol permainan terbaru mereka, Xbox Series X, ia juga hadir dengan sebuah ciri baru yang dinamakan DirectStorage yang membolehkan kandungan yang dipadatkan dalam storan konsol untuk diakses dengan cepat tanpa perlu melalui bahagian CPU konsol tersebut.
Secara tradisionalnya, kandungan permainan akan perlu dinyahpadatkan menggunakan CPU sebelum ia dihantar kepada komponen kad grafik untuk dioleh. Kemajuan teknologi CPU, GPU dan penghantaran data membolehkan perkara ini dilakukan dengan cepat, tetapi dengan menggunakan API DirectStorage, bahagian GPU boleh digunakan untuk menyahpadatkan fail-fail permainan dan diolah pada kadar yang lebih pantas.

Ini juga membolehkan komponen CPU untuk digunakan untuk tugasan lain, dan secara langsung juga mengurangkan penggunaan tenaga dan meningkatkan kadar bingkai permainan komputer secara langsung.
Microsoft hari ini mengumumkan bahawa API DirectStorage ini boleh digunakan bersama-sama permainan yang digerakkan pada komputer yang menggunakan sistem operasi Windows 10 dan 11 yang menggunakan storan SSD PCIe 4.0 dengan kadar penghantaran data pantas sehingga 7GB/s.

Microsoft dan para pembangun permainan dijangka akan memperlihatkan penggunaan lanjut teknologi DirectStorage ini di acara Game Developers Conference yang dijadualkan pada penghujung bulan Mac ini.
Permainan pertama yang disahkan akan memanfaatkan DirectStorage untuk PC ialah Forspoken, permainan oleh Luminous Productions yang baru sahaja hadir dengan pengumuman bahawa ia akan ditunda ke bulan Oktober ini.
