Jangkitan Baharu Terus Meningkat, 33,209 Kes Direkodkan Semalam

5 Mar 2022 • 11:37 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 33,209 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam, meningkat sedikit berbanding 32,647 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 3,561,766 kes.

Katanya, jumlah yang direkodkan itu membabitkan 32,768 kes tempatan dengan 441 daripadanya mendapat jangkitan dari luar negara.

“Sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 2 iaitu bergejala ringan, dengan jumlah 20,071 atau bersamaan 60.44 peratus. Sebanyak 12,935 kes pula berada dalam kategori 1 atau tidak bergejala.

“Sebanyak 98 kes iaitu 0.30 peratus pula berada dalam kategori 3, kategori 4 (52) serta kategori 5 (58),” katanya hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 203 kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan semalam, 43 kes iaitu 21.18 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan suntikan tersebut.

Katanya lagi, daripada jumlah itu, 117 kes sudah menerima dua dos vaksin manakala 43 kes lagi membabitkan individu yang sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 119 kes berumur 60 tahun ke atas, 67 kes mempunyai komorbiditi manakala satu kes membabitkan ibu hamil,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan 17 kluster di negara ini.

Katanya, angka terbaharu itu menjadikan hingga kini terdapat 476 kluster yang masih aktif di negara ini.

Perkembangan itu secara keseluruhannya menjadikan hingga kini sebanyak 6,826 kluster sudah direkodkan di negara ini sejak wabak berkenaan dikesan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan bagi kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), setakat ini sebanyak 348 kes iaitu 138 daripadanya disahkan dijangkiti COVID-19 dengan 210 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 211 kes lagi membabitkan pesakit dalam ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, terdapat 26,352 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 3,223,650 kes. - Getaran, 5 Mac 2022