Sabah Fokus Pembangunan Bandar Sempadan

16 Mar 2022 • 7:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Juhar (duduk atas) ketika hadir di Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN Sabah Ke-16.

KOTA KINABALU - Kerajaan Negeri Sabah akan memberi fokus kepada pembangunan beberapa bandar sempadan khususnya di Tawau dan kawasan sekitar.

Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, usaha itu dilakukan dengan mengaktifkan lagi pembangunan dan aktiviti ekonomi setempat di kawasan berkenaan.

“Ia juga antara usaha kerajaan negeri mengambil peluang daripada rancangan negara jiran Indonesia memindahkan ibu negara ke Kalimantan Timur.

“Justeru, Sabah tidak mahu ketinggalan menerokai prospek ekonomi yang berpotensi dimajukan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri turut menyediakan Rangka Tindakan Koridor Pembangunan Sabah 2.0 (2021-2030) dalam usaha memajukan negeri selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya.

image is not available
Kerajaan Negeri memberi tumpuan pembangunan bandar sempadan seperti Tawau dan kawasan sekitar sempena perpindahan ibu negara Indonesia di Kalimantan Timur.

“Ini termasuk menjadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai pusat perdagangan serta pintu masuk utama wilayah Kawasan Pertumbuhan ASEAB Timur - Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA)," katanya.

Sementara itu, Juhar turut menjelaskan, Sabah akan menerima kadar bayaran geran baharu bermula tahun ini, susulan rundingan berkaitan semakan pemberian khas daripada kerajaan Persekutuan.

“Ia hasil rundingan menerusi Jawatankuasa Perundingan Bersama Untuk Meneliti Semula Pemberian Khas Kepada Kerajaan Negeri Sabah mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, Sabah berjaya membuat kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion pada 2021, biarpun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19,” katanya.

Jelas beliau, buat julung kali kutipan hasil negeri melebihi paras RM5 bilion, mengatasi jumlah tertinggi RM4.541 bilion yang direkodkan pada 2014. - Getaran, 16 Mac 2022