Onn Hafiz Menteri Besar Johor Ke-19

LocalPolitics
15 Mar 2022 • 4:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Onn Hafiz (kiri) dan Hasni (kanan) bersama Sultan Ibrahim pada acara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di Johor Bahru, hari ini. - Gambar dari Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU - Teka-teki siapa Menteri Besar Johor yang baharu terjawab apabila mantan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah jawatan itu, hari ini.

Onn Hafiz, 43, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini. 

Berangkat sama pada istiadat angkat sumpah itu adalah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang juga mantan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad. 

image is not available
Onn Hafiz mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini. - Gambar dari Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Pada Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor itu, Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan terbabit.

Onn Hafiz sebelum ini dilihat aktif dalam pergerakan generasi muda ketika memegang portfolio sebagai Exco Johor.

Sehingga kenyataan rasmi dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kira-kira 4.15 petang tadi, identiti penyandang Menteri Besar Johor masih menjadi persoalan.

Pengamal media yang mula bersedia di pintu masuk Istana Bukit Serene sejak pagi tadi, tetap tidak mendapat kepastian lebih awal memandangkan Hasni dan Onn Hafiz kedua-duanya dilihat memasuki perkarangan istana sebelum istiadat bermula.

Terdahulu, khabar angin bertiup kencang bahawa terdapat nama individu lain dicalonkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) bagi dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19, sedangkan sepanjang PRN Johor, hanya Hasni dikatakan sebagai calon tunggal jawatan terbabit sekiranya BN memenangi pilihan raya berkenaan.

Selain Onn Hafiz, nama yang disebut-sebut memegang jawatan Menteri Besar Johor adalah Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang memenangi kerusi DUN Rengit. – Getaran, 15 Mac 2022