Enakmen antilompat parti penting untuk kestabilan politik Johor: PH

Politics
4 Mar 2022 • 9:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BATU PAHAT: Pakatan Harapan (PH) percaya pelaksanaan enakmen antilompat parti adalah penting untuk memastikan kestabilan politik Johor.

Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata enakmen itu, yang terdapat dalam Tawaran Tindakan PH Johor, adalah selari dengan pindaan Perlembagaan berkaitan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.

“Ia bermakna sekali gus menyokong apa yang telahpun dipersetujui sebagai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani PH dengan Kerajaan Persekutuan.

“Jadi ia bukan satu perkara yang asing atau lain daripada apa yang kita tuntut,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Tawaran Tindakan PH Johor di sini hari ini.

Pelaksanaan enakmen antilompat parti adalah antara manifesto di bawah Tawaran Tindakan PH Johor yang mengandungi tiga teras utama iaitu membina semula ekonomi rakyat, menjamin kesejahteraan rakyat serta mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah.

Pengerusi Parti Amanah Negara Johor Aminolhuda Hassan pula berkata sememangnya terdapat persamaan dalam tawaran yang diberikan PH dengan parti lain namun gabungan politik itu lebih memfokus kepada kemajuan kepentingan rakyat.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar bagi PH jika gabungan politik berkenaan diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, beliau berkata ia masih belum dibincangkan kerana terdapat beberapa perkara yang lebih penting termasuk memenangi pilihan raya itu.

“Walaupun kita yakin kita boleh menang tetapi untuk meletakkan seseorang sebagai calon akan dibincangkan pada masa yang sesuai, iaitu apabila menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac ini manakala pengundian awal pada 8 Mac.-Bernama