
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menerima usul sekali gus bersetuju isu berkenaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara pada Isnin dibahaskan di Dewan Rakyat.
Azhar berkata, beliau menerima notis pemberitahuan mengenai usul berkenaan daripada Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada jam 10 malam Isnin manakala Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada jam 10 pagi Selasa.
Namun Azhar menjelaskan, usul tersebut tidak akan dibincang atau dibahaskan hari ini (Selasa) kerana memerlukan tempoh 24 jam untuk diteliti mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (2).
"Saya terima usul Yang Berhormat (Kui Lun) pada jam 10 malam tadi, jadi saya ada 24 jam ikut peraturan (untuk dipertimbangkan) dan saya akan jawab hari ini, usul Yang Berhormat Lembah Pantai dihantar jam 10 pagi. Saya ada (tempoh) sehingga esok (untuk pertimbangan).
"Tetapi secara ’preliminary’, saya cadangkan perkara itu dibincangkan (bahas). Itu sahaja komen saya setakat ini. Tetapi saya tidak benarkan ia dibahas sekarang kerana perlu tempoh 24 jam. Kalau saya benarkan, hanya satu sahaja kerana ia (usul) sama,” jelasnya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk jalan-jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak jam 2.30 petang.
Sementara itu, Teresa Kok (PH-Seputeh) ketika sesi perbahasan Titah Diraja berkata, kerajaan terutama Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memberitahu apakah rancangan yang telah dirangka bagi menangani masalah banjir kilat di ibu negara.
Teressa berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan pengurusan banjir di negara ini adalah yang terbaik di dunia.
"Jadi saya hendak tanya di mana kebenaran perkara itu. Bagaimana perasaan beliau dengan kejadian banjir semalam, di manakah beliau ketika banjir berlaku dan apa rancangan berhubung perkara ini," katanya.
Dalam pada itu Teresa turut mendakwa Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) tidak berfungsi ketika kejadian banjir berlaku.
"Saya meminta pihak yang bertanggungjawab memberitahu mengapa Terowong SMART tidak berfungsi yang mana air banjir di kawasan saya tidak mengalir ke terowong ini," jelasnya.

