5 Tips Kuruskan Badan di Bulan Ramadan

Health & Fitness
22 Mar 2022 • 9:00 AM MYT
Duan Deris
Duan Deris

Duan Deris adalah pekebun separuh masa dan penulis bebas di cariblogger.com

image is not available

Acapkali tiba bulan Ramadan, pasti ramai di antara kita yang bercita-cita untuk menguruskan badan dengan harapan dapat bergaya dengan baju baru yang bersaiz yang lebih kecil. Paling tidak dapat mengempiskan perut yang buncit pun sudah memadai.

Melalui logik akal, andainya anda berpuasa penuh selama sebulan, kemungkinan badan anda menjadi kurus adalah sangat tinggi. Betul?

Ya benar. Jika berlandaskan amalan pemakanan yang sihat, tidak mustahil anda boleh mengurangkan berat badan di bulan Ramadan. Meskipun begitu, sekiranya anda makan secara berlebihan ketika berbuka dan lewat malam, jangan haraplah untuk menjadi kurus. Malah semakin mengembang pula nanti.

Menurut artikel yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui portal rasmi MyHEALTH, berikut adalah 5 tips untuk mengurangkan berat badan di bulan Ramadan yang boleh anda cuba.

image is not available
Photo by Rauf Alvi on Unsplash

1. Kurangkan makanan yang mempunyai kandungan gula, minyak, dan lemak yang tinggi

Makanan yang tinggi dengan gula, minyak, dan lemak kebiasaannya mengandungi kiraan kalori yang besar. Antara contoh-contoh makanan tinggi kalori adalah seperti coklat, fastfood, kudapan, kek, ais krim, makanan ringan dan sebagainya.

Anda haruslah mengehadkan atau mengurangkan pengambilan makanan-makanan berikut untuk mengawal pengambilan kalori serta mengekalkan berat badan yang sihat.

2. Kurangkan pengambilan minuman yang manis

Minuman yang manis seperti air kotak, air tin bikarbonat mahupun kordial mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi. Jika anda teringin ketika berbuka puasa tidak mengapa tetapi berwaspadalah dengan jumlah air manis yang diminum.

Antara cara terbaik adalah dengan mengehadkan jumlah minuman manis yang diambil tetapi utamakan pengambilan air kosong serta jus buah-buahan yang tidak ditambah gula.

image is not available
Photo by Nature Zen on Unsplash

3. Ambil perhatian tentang saiz hidangan

Apabila sudah lapar, anda akan cenderung untuk makan dengan lebih banyak. Ditambah pula dengan nafsu makan yang meluap-luap setelah seharian berpuasa, pastinya agak sukar untuk mengawal kuantiti dan saiz hidangan yang diambil.

Namun begitu, untuk menjayakan misi kuruskan badan di bulan Ramadan, anda haruslah sentiasa ambil perhatian dengan jumlah kuantiti makanan yang boleh anda ambil. Kira kalori jika boleh dan berpegang teguhlah dengan disiplin yang telah ditetapkan.

4. Lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran

Sekiranya anda tidak mampu untuk menahan keinginan untuk makan, cuba lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mempunyai kandungan serat yang tinggi. Ianya bukan sahaja mengenyangkan, bahkan boleh meningkatkan kadar pengambilan serat harian anda.

Sebagai contoh mudah, daripada makan kentang goreng sebagai snek lewat malam, apakata anda cuba makan buah-buahan seperti epal sebagai ganti.

5. Lakukan senaman ringkas

Berpuasa bukanlah alasan untuk tidak langsung melakukan senaman. Andainya tidak mampu melakukan aktiviti-aktiviti senaman yang melibatkan pergerakan fizikal yang tinggi, anda bolehlah mengamalkan senaman yang ringkas.

Antaranya senaman ringkas yang boleh anda cuba adalah seperti aktiviti regangan badan ataupun berjalan perlahan-lahan di sekitar kawasan perumahan.


Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.