
KUALA LUMPUR - Seramai 100 pelajar asnaf pada Sabtu menerima sumbangan zakat dalam bentuk akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bernilai RM100 setiap seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM10,000 pada Program Jelajah Simpan SSPN 2022 kawasan Langkawi.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan memaklumkan program itu yang dilaksanakan sejak 2019, secara keseluruhan melibatkan pemberian sumbangan zakat PTPTN kepada 3,000 pelajar asnaf dari 30 kawasan terpilih, termasuk Langkawi tahun ini.
"Tujuan penganjuran program adalah untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta sebagai galakan awal untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi mereka,” menurut kenyataan itu, pada Sabtu.
PTPTN memberitahu Program Jelajah Simpan SSPN juga bertujuan mendekatkan PTPTN dengan masyarakat bagi membentuk kesedaran penabungan melalui Simpan SSPN untuk jaminan masa depan anak-anak Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, program itu adalah bukti komitmen berterusan perbadanan itu yang sentiasa prihatin untuk membantu dan menyokong masyarakat dalam memartabatkan pendidikan.
"Program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar penabungan melalui Simpan SSPN dijadikan pilihan utama bagi pemberian insentif, hadiah kecemerlangan, kokurikulum kepada pelajar,” katanya.
Beliau berkata, PTPTN juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai agensi lain untuk sama-sama membudayakan amalan penabungan dan menyokong usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara.
Program Jelajah Simpan SSPN 2022 Langkawi pada Sabtu disempurnakan Wan Saiful dalam majlis yang turut dihadiri ahli-ahli lembaga pengurusan PTPTN dan Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Sabri Osman.
Dalam pada itu, PTPTN menyatakan Simpan SSPN adalah platform terbaik untuk menggalakkan ibu bapa memulakan simpanan agar anak-anak mereka tidak tercicir daripada mendapat akses pendidikan tinggi kerana masalah kewangan.
Tambahnya, PTPTN sentiasa cakna dalam membantu masyarakat terutamanya golongan asnaf melalui program-program tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan. - Bernama
