
KUALA LUMPUR - Kisah sebenar seorang kanak-kanak yang mendakwa cuba dibunuh ibunya sehingga tular di media sosial, terbongkar apabila dia disahkan melarikan diri selepas berselisih faham dengan wanita terbabit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku pada Jumaat lalu apabila pihaknya menerima panggilan mengenai kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 12 tahun yang dipukul oleh ibunya.
Menurut beliau, polis membawa kanak-kanak berkenaan ke balai berdekatan untuk siasatan lanjut berdasarkan maklumat diterima itu.
“Siasatan mendapati, berlaku salah faham antara dia dengan ibunya, berpunca daripada pergaduhan adik-beradik.
“Kanak-kanak tersebut dimarahi oleh ibunya dan bertindak melarikan diri ke gerai makan berhampiran kawasan rumah,” katanya hari ini.
Mohamad Fahkruddin berkata, bapa kanak-kanak itu tampil di balai polis dan telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian dan siasatan mendapati, tiada unsur penderaan terhadap kanak-kanak tersebut.
“Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan polis akan menjalankan siasatan bagi melihat jika wujud sebarang perbuatan jenayah. Kami juga meminta saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil memberikan keterangan,” katanya.
Ahad lalu, tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak lelaki meminta bantuan orang awam di sebuah medan selera, kerana kononnya dia cuba dibunuh oleh ibu kandung.
Kejadian berlaku di sebuah gerai makan di medan selera yang terletak di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya. - Getaran, 1 Mac 2022
