
BELURAN: Yayasan Petronas menyumbangkan sebanyak 150 unit katil boleh laras serta 13 unit penumpu oksigen bernilai RM600,000 kepada pesakit yang terlantar dan berada di rumah di seluruh negeri ini bagi fasa satu Program Homeward.
Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab berkata, agihan bantuan itu dikelola dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, yang mempunyai data pesakit yang terlantar di rumah dan memerlukan peralatan seumpama.
“Kita juga merangka untuk melaksanakan program sama bagi fasa dua pada masa akan datang bersama pihak JPKA Sabah dalam usaha membantu lebih ramai pesakit,” katanya pada Program Turun Padang Dan Ziarah Kasih JPKA Sabah Bersama Petronas di Kampung Muanad 3, Kampung Mantanggar dan Kampung Kolapis Darat, di sini pada Rabu lepas.
Ia disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Adun Labuk, Samad Jambri yang turut menyampaikan bantuan wang kepada keluarga penerima berkenaan.
Hadir sama, Pengarah JPKA Sabah, Jais Asri.
Dalam pada itu, Samad berkata kerajaan dan pelbagai agensi akan terus bekerjasama dalam memastikan mereka yang tercicir akan dibantu.
“Saya juga berharap lebih banyak agensi ataupun badan bukan kerajaan dan korporat akan tampil sama seperti Petronas, untuk membantu kerajaan menghulurkan bantuan.”
Sementara itu, Jais berkata, JPKA juga akan terus membantu golongan yang memerlukan dengan bantuan bulanan dan peralatan.
Menerusi Program Homeward, bantuan yang diberikan ialah katil boleh laras, kerusi roda serta bantuan bulanan.
Jais juga meminta masyarakat memaklumkan kepada JPKA sekiranya ada warga yang memerlukan bantuan kebajikan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
