
SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, penafian golongan tertentu terhadap inisiatif Jabatan Kemajauan Islam Malaysia (Jakim) membangunkan aplikasi Hijrah Diri sehingga dikeluarkan Google Play adalah perkara yang amat mendukacitakan.
Justeru, Idris telah mengarahkan Jakim untuk berhubung dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk penjelasan dan tindakan lanjut.
"Saya telah dimaklumkan oleh pihak agensi di mana sebuah apps yang telah dibangunkan oleh Jakim iaitu Hijrah Diri, sebuah aplikasi untuk mengajak golongan L***Q kembali kepada fitrah diri, telah dikeluarkan oleh Google Play.
"Ternyata ini adalah perkara yang sangat mendukacitakan apabila sebuah aplikasi untuk menarik manusia kembali kepada fitrah diri mereka, apatah lagi menjelang bulan yang mulia, Ramadan Al Karim, telah dinafikan oleh golongan tertentu.
"Sedangkan banyak lagi aplikasi yang mendorong kepada maksiat telah berleluasa dengan megah di peranti-peranti, yang kian merosak jiwa umat Islam dan anak muda kini," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau menambah, perkembangan tersebut adalah cabaran besar buat Jakim.
"Mohon doa semua umat Islam dan rakyat Malaysia, agar usaha kecil kami di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama melalui agensi utama iaitu Jakim untuk mengajak manusia kembali kepada ALLAH SWT dipermudahkan," katanya.
Pada 9 Mac, Jakim bersama Yayasan Ihtimam Malaysia menubuhkan aplikasi Hijrah Diri bagi memantau golongan LGBT untuk kembali kepada fitrah masing-masing.

