Keputusan Penerima Sinovac Ambil Dos Penggalak Sebelum 31 Mac Muktamad - Khairy

3 Mar 2022 • 7:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mulai 1 April ini, jika penerima dos Sinovac tidak menerima dos penggalak maka status vaksinasi mereka di dalam MySejahtera akan bertukar daripada kuning kepada putih. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya penerima dos lengkap vaksin primer Sinovac mendapatkan suntikan imunisasi penggalak COVID-19 sehingga 31 Mac ini bagi mengekalkan status vaksinasi mereka adalah muktamad.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya golongan penerima itu tidak mendapatkan dos penggalak sehingga tarikh terbabit, paparan status vaksinasi mereka di MySejahtera akan bertukar menjadi tidak lengkap.

“Bermula 1 April, bagi penerima dos primer Sinovac tidak kira usia untuk dewasa berusia lebih 18 tahun atau warga emas, tetapi tidak menerima dos penggalak, status vaksinasi akan bertukar daripada kuning kepada putih.

 “Itu muktamad,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan situasi COVID-19 yang turut disiarkan secara langsung di Facebook KKM.

Terdahulu, Khairy menerusi kenyataan, memutuskan penerima vaksin berusia 60 tahun ke atas dan individu berusia 18 tahun ke atas yang menerima vaksin jenis Sinovac, perlu mendapatkan dos penggalak sebelum 28 Februari bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Bagaimanapun, Khairy dalam sidang media pada 24 Februari lalu, mengumumkan tempoh itu dilanjutkan sehingga 31 Mac ini.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, terdapat 35,000 warga emas yang menerima dua suntikan dos primer Sinovac, masih belum menerima dos penggalak.

“Bagi warga emas, dos penggalak terbukti mencegah kesan buruk COVID-19. Oleh itu, adalah penting untuk golongan ini mendapatkan dos penggalak.

“Memang gelombang Omicron dilihat tidak seganas Delta, tetapi bagi warga emas, terutama komorbid ia bukanlah satu penyakit ringan kerana boleh membawa kematian,” katanya.

Menurut Khairy, penerima vaksin primer Sinovac, terutama warga emas kini boleh mendapatkan suntikan dos penggalak secara ‘walk-in’ di pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara. - Getaran, 3 Mac 2022.