UMNO Tangguh Pemilihan Elak Perpecahan Dalaman

Politics
19 Mar 2022 • 8:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Barisan kepimpinan UMNO bergambar di atas pentas sebelum Perhimpunan Agung UMNO 2021 di WTC, berakhir hari ini. - Gambar Azim Abd Rahman

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan penangguhan pemilihan parti selama enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) perlu dibuat bagi mengelakkan tercetus bibit perpecahan dalaman parti.

Beliau berkata, penangguhan itu juga bagi mengelak berlaku perselisihan yang memungkinkan ahli parti berpecah-belah sehingga memerlukan pilihan raya diadakan berlangsung sekali lagi.

Katanya, sekiranya penangguhan pemilihan itu diluluskan, isu hangat diperdebatkan mutakhir ini dapat diselesaikan

“Kerana sejarah menunjukkan jelas apabila ada pemilihan parti, ada perpecahan parti. Jangan menidakkan perkara ini. 

“Kita tidak mahu parti kita dalam keadaan tidak baik, bergeseran antara satu sama lain dan berpecah serta alami pilihan raya lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

image is not available
Mohamad Hassan

Mohamad berkata, UMNO tidak mahu berlaku perpecahan dalam parti.

“Kita mesti solid menghadapi musuh untuk kita tentang. Jangan kita pandang ringan musuh nak jatuhkan kita. Dia tahu apa kesilapannya.

“Kali ini kalau kita jatuh sekali lagi memang susah. Jadi pertahankan maruah dan martabatkan parti kita,” katanya.

Sebelum itu, Mohamad berkata, penangguhan pemilihan parti UMNO selama enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) atau dalam jangka waktu enam bulan akan digerakkan segera.

Jelasnya, proses penangguhan akan dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan berharap ia tidak berdepan masalah untuk diluluskan.

Apa dibimbangi dikhuatiri, katanya, ia berdepan kekangan kerana RoS terletak di bawah kuasa menteri bukan dari UMNO.

“Selaku pengerusi jawatankuasa pengurusan, saya perlu mengambil tindakan untuk memastikan apa yang diputuskan ini akan digerakkan dan diambil segala tindakan segera.

“Keputusan paling besar sekali yang perlu dibuat segera adalah bahawa pemilihan parti akan ditangguhkan enam bulan selepas PRU atau dalam jangka masa waktu enam bulan. Itu satu keputusan besar.

“Saya minta Perdana Menteri perhatikan sedikit jika tulis kepada RoS, jangan pula nanti ada orang menghalang keputusan kita kerana menterinya bukan dari UMNO. Tahu sahajakan? Susah kita nanti,” katanya. – Getaran, 19 Mac 2022