SGB: KKM lulus vaksin Covid-19 CanSino sebagai penggalak heterologus

21 Mar 2022 • 10:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Solution Group Bhd’s (SGB) yang merupakan subsidiari milik penuh dan juga rakan pengeluar CanSino Biologics Inc (CanSinoBIO) untuk ASEAN, hari ini mengumumkan dos tunggal vaksin Convidecia CanSino telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai penggalak heterologus.

SGB dalam satu kenyataan hari ini menyatakan penggalak heterologus merujuk kepada vaksinasi yang diberikan dengan vaksin dari jenis berbeza daripada vaksin diterima sebelum ini.

Convidecia adalah vaksin untuk Covid-19 berasaskan vektor ‘adenovirus type 5’, manakala vaksin lain yang ada adalah kebanyakan vaksin ‘inactivated-’ atau jenis ‘mRNA’.

“KKM dalam satu pengumuman hari ini telah meluluskan Convidecia untuk digunakan sebagai suntikan penggalak heterologus untuk dewasa berusia 18 tahun ke atas, yang telah melengkapkan pengambilan dua dos Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan,” menurut kenyataan itu.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SGB Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal dalam kenyataan tersebut berkata kelulusan KKM itu membolehkan rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak pilihan vaksin untuk suntikan penggalak dan yang lebih penting lagi, keselamatan dan keberkesanan Convidecia sebagai vaksin yang mengelakkan jangkitan COVID-19.

Mohd Nazlee berkata kelulusan itu juga bermakna Convidecia kini boleh menyertai usaha kerajaan dalam meningkatkan lagi pengambilan dos penggalak dalam usaha berhadapan dengan varian virus Omicron, terutamanya dalam kalangan kumpulan seperti warga emas dan terimunokompromi.

“Penggunaan suntikan penggalak daripada vaksin jenis berlainan dengan suntikan vaksin sebelum ini, adalah lebih berkesan dengan respon imun yang lebih tinggi berbanding menggunakan dos penggalak daripada jenis vaksin yang sama.

– BERNAMA