
SHAH ALAM, 18 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 1,500 juadah sempena program Iftar Ala Madinah yang berlangsung Sabtu lalu.
Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam berkata juadah diberi percuma kepada peserta berbuka puasa di jalan sekitar Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
“Program turut diisi dengan tazkirah dari pendakwah bebas Ustaz Fauzi Mustaffa dan bacaan al-Quran oleh Ustaz Ammar Mukhlis selain solat Maghrib, Isyak secara Tarawih secara berjemaah.
“Program ini mendapat sumbangan berjumlah RM50,000 daripada Persatuan Kebajikan Richwell. Kita turut serahkan duit raya kepada 100 anak yatim dari tiga rumah kebajikan,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.
Beliau berkata program disambung dengan Sembang Sahur Edisi Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan melibatkan sekitar Dataran Kemerdekaan, Laman Budaya Shah Alam, Hospital Shah Alam serta Balai Polis Seksyen 9 dan Balai Bomba Seksyen 15.
“Sebanyak 1,000 pek makanan sahur diagihkan. Langkah ini dapat merapatkan hubungan ukhwah dan silaturrahim antara MBSA dan pelbagai pihak khususnya warga Shah Alam.
“Shamsul Ghau-Ghau, PU Amin dan juara tilawah antarabangsa Nor Farhatul Fairuzah turut memeriahkan majlis dan beramah mesra dengan orang awam,” katanya.
The post Program iftar ala Madinah anjuran MBSA meriah, 1,500 pek juadah disedia appeared first on Selangorkini.
