Tesla turut sama sisihkan pengecas daripada kereta mereka

Cars
18 Apr 2022 • 10:34 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Bukan setakat pengeluar telefon, pengeluar kereta pun telah mula tidak sertakan kabel pengecas pada kereta mereka. Menerusi beberapa Tweet Elon Musk, dia memaklumkan yang pengecas (mobile connector) tidak lagi disertakan bersama-sama kereta keluaran mereka.

Antara alasan yang dipetik adalah frekuensi penggunaannya yang "super" rendah dan dilihat membazir. Kalau logik sebegini digunakan, bukankah kereta biasa sekarang seharusnya tak lagi sertakan jek ataupun tayar kecemasan kerana penggunaan yang "super" rendah?

Tapi sebelum anda melenting, pengecas yang dimaksudkan adalah set aksesori yang membolehkan pengguna Tesla mengecas kereta mereka melalui soket kediaman 110V yang biasa dengan paras output sehingga 1.3kW berbanding Tesla Supercharger yang mampu berikan output sehingga 250kW.

image is not available
Tesla Mobile Connector

Makanya, solusi yang disarankan Elon adalah untuk menggunakan Tesla Supercharger ataupun pasang pengecas khas di kediaman untuk memudahkan proses mengecas.

Sekiranya pengguna masih perlukan mobile connector ini, mereka tetap akan jualnya sebagai aksesori tambahan. Harga aksesori ini akan diturunkan daripada USD 275 (RM 1,167) kepada USD 200 (RM 849) tapi lebih banyak kepala pengecas akan disertakan.

image is not available