‘Sabah perlu syarikat penerbangan sendiri’

17 Apr 2022 • 2:42 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri digesa untuk mempertimbangkan cadangan mewujudkan syarikat penerbangan sendiri bagi menangani isu tambang terlalu mahal yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan sedia ada ketika ini.

Pengerusi Sri Pelancongan Sabah (SPS) Datuk Jelani Hamdan berkata, kerajaan juga mungkin boleh mewujudkan kerjasama dengan syarikat penerbangan sedia ada dalam menyediakan perkhidmatan udara lebih berpatutan kosnya kepada rakyat dan pengunjung di negeri ini.

Katanya, tindakan syarikat penerbangan ketika ini yang mengenakan kadar tambang terlalu tinggi, khususnya menjelang musim perayaan sangat menyeksakan rakyat dan menjejaskan usaha menarik pelancong datang ke Sabah.

“Sabah perlu mengembangkan sayap dan skop Syarikat Penerbangan Sabah Air dengan menjadikannya sebuah syarikat penerbangan komersial sesuai dengan jangkaan pertambahan penumpang apabila Nusantara, iaitu ibu negara baharu Indonesia mula beroperasi,” katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau mengulas isu tiket penerbangan, khususnya bagi laluan domestik Semenanjung – Sabah yang melambung ketika musim perayaan hingga menimbulkan pelbagai rungutan, selain turut menjadi antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu lalu.

Jelani, yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata beliau menyokong keputusan Kabinet negeri yang menggesa syarikat penerbangan menurunkan kadar tambang ke tahap yang lebih berpatutan.

“Saya juga menyokong gesaan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin yang turut menyuarakan perkara yang sama,” katanya.

Katanya, selepas teguran yang dibuat pelbagai pihak itu, beliau mendapati harga tiket penerbangan masih tinggi meskipun ada sedikit penurunan dilakukan syarikat penerbangan.

“Sebelum ini harga tiket penerbangan mencecah hingga lebih RM3,000 bagi Kelas Perniagaan dan lebih RM2,000 bagi Kelas Ekonomi. Semakan terbaharu saya di laman web mendapati ada sedikit penurunan selepas teguran itu.

“Namun, kadarnya masih lagi tinggi iaitu antara RM300 lebih hingga lebih RM1,000, khususnya bagi penerbangan antara Kuala Lumpur - Sabah pada 28, 29 dan 30 April ini.

“Kadar berkenaan masih lagi membebankan, terutama kepada rakyat Sabah dan tidak bagus untuk sektor pelancongan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan Pusat khususnya perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani situasi berkenaan demi kepentingan rakyat Sabah dan perkembangan sektor pelancongan negeri.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.