Ribut Tropika Megi, MET Malaysia Keluar Amaran Angin Kencang Di Sabah

11 Apr 2022 • 11:59 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang penduduk tempatan mengambil gambar di sungai Xindian selepas taufan Megi di daerah Xindian di New Taipei City pada 28 September 2016. - Gambar hiasan AFP

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di beberapa lokasi di Sabah susulan ribut tropika Megi yang melanda Filipina.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ribut tropika Megi kini berada kira-kira 144 kilometer ke barat laut Surigao City, Filipina dan 950 kilometer ke timur laut Sandakan, Sabah.

Menurutnya, ribut tropika ini memiliki kelajuan maksimum iaitu 65 kilometer per jam.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang di kawasan perairan Sabah, justeru MET Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan timur Condore, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulu berkuat kuasa sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Helmi berkata, MET Malaysia menasihatkan orang awam di kawasan yang dinyatakan untuk lebih peka dan mengikuti maklumat berkenaan status terkini ribut tropika Megi yang akan dikemas kini setiap tiga jam.

“Maklumat ini boleh diperoleh melalui laman sesawang dan aplikasi telefon pintar myCuaca.

“Orang awam juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia bagi mengajukan sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. - Getaran, 11 April 2022