Azzam Sham Tak Tolak Rezeki Jika Bergelar Bapa

Music
26 Apr 2022 • 9:08 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Pelakon dan penyanyi  Azzam Sham sekadar tersenyum dan mengaminkan kata-kata setiap kali ditanya mengenai  khabar angin isterinya, Sheryl Shazwani  yang dikatakan sudah berbadan dua.

Semuanya bermula apabila Sheryl memuat naik sebuah gambar dalam pakaian jenis hoodie bulan lalu. 

Rata-rata pengikut di laman sosial mengatakan perutnya sudah menonjol sekali gus mencetuskan andaian bahawa penyanyi lagu 'Perasaan' itu bakal bergelar seorang ibu.

        View this post on Instagram                      

A post shared by Azzam Sham (@azzam_sham)

“Ramai sangat yang cakap isteri saya mengandung. Saya doakan sahaja. Kalau betul, memang saya sangat bersyukur. 

“Apapun, ini perkara yang besar. Saya kena jaga sensitiviti keluarga kedua-dua belah pihak,” kata Azzam semasa ditemui Getaran baru-baru ini. 

Namun begitu, juara program Big Stage 2020 ini  bagaimanapun tidak menolak jika direzekikan anak dan bergelar bapa di tahun pertama perkahwinannya.

“Kami tak pernah merancang apa-apa. Jika ada rezeki, adalah,” katanya tersenyum.

Ketika ramai artis muda yang merahsiakan perkahwinan mereka, Azzam dan Sheryl adalah pasangan yang sangat terbuka bercerita mengenai hubungan mereka sejak awal lagi. 

“Mungkin ada yang khuatir populariti merudum namun mujurlah untuk saya, peminat masih setia menyokong kerjaya seni saya walaupun sudah berkahwin.

“Baru-baru ini  lagu saya 'Bila Cinta Didusta' sudah tiga minggu menduduki carta pertama di radio Era. Ia sesuatu kejayaan bagi saya,” katanya yang sedang merancang pertemuan bersama-sama kelab peminatnya. 

“Bak kata isteri saya, peminat dia adalah peminat saya juga, begitu juga sebaliknya,” tambahnya.

Azzam dan Sheryl bakal tampil dengan sebuah single duet terbaru selepas Aidilfitri nanti. Lagu berentak balada itu sudahpun dirakam dan sedang dalam proses untuk menghasilkan video muzik yang dijangka siap tidak lama lagi. 

Terdahulu, Azzam dan Sheryl  disatukan sebagai pasangan suami isteri pada awal Januari tahun ini di Masjid Nurul Ehsan Taman Medan, Petaling Jaya. Azzam menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 dan seutas gelang emas. Walau bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Gambar: Instagram Azzam 

View Original Article