AIM belanja RM5.5 juta bantu peserta di Sabah dilanda musibah

21 Apr 2022 • 3:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membelanjakan RM5.5 juta dari Januari 2021 hingga Mac tahun ini bagi pembayaran manfaat kepada peserta AIM di Sabah yang ditimpa musibah.

Pengarah AIM Wilayah Sabah, Jahinin Siman, berkata seramai 11,826 peserta atau Sahabat AIM mendapat manfaat bantuan di bawah Tabung Keselamatan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) sepanjang tempoh itu.

“Bantuan TKKS diberikan kepada Sahabat yang ditimpa musibah seperti kebakaran atau banjir hingga memusnahkan perniagaan atau kediaman mereka termasuk melibatkan kemalangan atau kesihatan terjejas.

“Jumlah bantuan bergantung kepada situasi dihadapi, bagaimanapun, jumlah maksimum adalah RM5,000. Sebagai contoh jika perniagaan atau rumah mereka terbakar, jumlah penuh (RM5,000) akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Sahabat AIM Ranau sempena Semarak Ramadan AIM di Kampung Lipasu Lama, di sini, Selasa lepas.

Hadir sama ialah Penaung Kelab Usahawan Sahabat AIM Ranau (Kusair) merangkap Pengerusi PeladangNita Ranau, Datin Jaini Majid; Pengerusi Kusair, Dg Ainon Mohd Salleh dan Pengurus AIM Ranau, Rujin Mohd Din.

Jahinin yang juga Presiden Angkatan Sukarelawan Prihatin Sabah (ASPS) berkata, TKKS adalah salah satu keprihatinan AIM untuk meringankan beban Sahabat yang ditimpa musibah hingga menjejaskan kehidupan mereka.

Katanya, selain TKKS, terdapat pelbagai bantuan dan manfaat lain disediakan AIM bertujuan bukan saja membantu tetapi juga mengangkat ekonomi Sahabat agar mampu keluar dari garis kemiskinan.

“Melalui inisiatif ini, kita dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di Sabah sekaligus menjadi teladan kepada Sahabat lainnya untuk mengikut jejak sama selaras dengan agenda kerajaan,” katanya.

Pada majlis yang turut mendapat kerjasama Kusair itu, Jahinin turut menyampaikan bantuan barangan dapur dan sumbangan wang kepada 32 asnaf dari kawasan tersebut.