
NABAWAN: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) membayar sejumlah RM21 juta dividen terkumpul kepada 7,000 peneroka dan pesertanya pada tahun lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang berpuas hati dengan prestasi SLDB berkata, pembayaran dividen itu merupakan pencapaian amat baik yang direkodkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Prestasi agihan dividen terkumpul SLDB pada 2021 kepada peneroka dan peserta adalah berjumlah RM21 juta berbanding RM3.4 juta pada 2020.
“Pemberian dividen ini telah dibayar secara bulanan dan suku tahun sepanjang tahun 2021.
“Setakat suku pertama tahun ini (2022), SLDB telah membayar sebanyak RM5 juta dividen, berbanding anggaran belanjawan 2022 sebanyak RM3.4 juta,” katanya pada Majlis Iftar Ramadhan bersama Ketua Menteri di perkarangan Masjid Al-Hidayah dekat sini, Selasa malam.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, untuk tahun ini, SLDB mensasarkan pemberian dividen sebanyak RM17 juta kepada peneroka dan pesertanya.
Katanya, faktor utama penyumbang kepada pencapaian itu didorong oleh peningkatan pengeluaran hasil sawit iaitu sebanyak 68,000 metrik tan pada 2021, berbanding 53,000 metrik tan pada 2020, selain meningkatkan harga sawit.
Beliau mahu SLDB terus memainkan peranan penting dalam membantu membasmi kemiskinan masyarakat luar bandar dan meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka melalui pembangunan tanah berasaskan pertanian.
SLDB kini melaksanakan pembangunan tanah dan penanaman semula sawit di seluruh Sabah melibatkan kawasan seluas 38,000 hektar dengan tanaman sawit dan sebahagian kecil getah. Projek sosio tersebut telah memberikan manfaat kepada hampir 7,000 isi rumah golongan B40 dan kira-kira 28,000 isi rumah yang meliputi isteri dan anak peneroka serta peserta SLDB.
“Ini yang dilakukan oleh agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. Kerajaan berharap GLC kerajaan dapat menyumbang sejumlah RM200 juta dividen kepada Kerajaan Negeri,” tambahnya.
Menurutnya, pendapatan hasil daripada dividen yang diterima akan digunakan untuk membina dan meningkatkan pelbagai kemudahan Infrastruktur untuk rakyat.
Katanya, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) komited membangun rakyat dan negeri Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Sabah (SMJ), yang selari dengan manifesto dan Aku Janji pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.
“Yang penting kita mesti terus bersatu padu, tingkatkan persefahaman dan kerjasama, serta kuatkan Kerajaan GRS-BN. Insya-Allah, kita akan menang dengan bergaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang akan datang,” tegasnya.
Semasa majlis itu, Hajiji turut menyerahkan sumbangan bakul makanan dan duit raya kepada golongan asnaf, beras kepada peserta SLDB daerah Nabawan, sumbangan RM2,000 kepada Masjid Al-Hidayah Nabawan dan simbolik penyerahan pembayaran pendapatan peneroka dan dividen peserta SLDB pada 2021.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Flovia Ng, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda, Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang juga Adun Nabawan, Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Ghulam Haidarkhan Bahadar, Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
