Lepaskan 11 Warga Asing, Pegawai Polis Dan Warga Emas Didakwa

13 Apr 2022 • 1:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohamad Azrim dibawa ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang atas tuduhan melepaskan 11 warga asing, tahun lepas.

GEORGETOWN - Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superitenden (ASP) dan seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini, atas dakwaan melepaskan 11 warga asing tahun lalu.

Tertuduh, ASP Mohamad Azrim Abu Bakar, 41, dan S. Muniandy, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Azrim didakwa mengingkari arahan undang-undang untuk menyerahkan 11 warga asing kepada Jabatan Imigresen dengan niat bahawa semua warga asing itu dapat diselamatkan daripada tindakan pengusiran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, antara jam 2 hingga 3 petang, 9 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

image is not available
Muniandy didakwa bersubahat membantu Mohamad Azrim melepaskan semua 11 warga asing, tahun lepas.

Muniandy pula didakwa bersubahat membantu Mohamad Azrim melepaskan semua 11 warga asing itu di lokasi, waktu, dan tarikh yang sama.

Tertuduh yang diisytihar muflis pada 2007 didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Nur Melati kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, dan menetapkan 18 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mohamad Azrim diwakili oleh peguam M.M Athimulan, T. Tamil Selvam, dan K. Mahendran, manakala Muniandy diwakili Hari Prassaad Rao.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nazri Abdul Rahim.

Mac tahun lalu, polis Pulau Pinang menahan lapan individu terdiri daripada pegawai polis, seorang kakitangan Jabatan Imigresen serta orang awam bagi membantu siasatan kes melepaskan suspek Macau Scam warga China di Pulau Pinang.

Dalam kejadian itu, seramai 11 tahanan Macau Scam dikatakan diserahkan kepada seorang 'pegawai' Imigresen, untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti sepatutnya.

Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penglibatan seorang pegawai polis dalam kes berkenaan dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pengkhianatan kepada negara. – Getaran, 13 April 2022