2 Beradik Maut Motosikal Ditunggang Dilanggar Lori

27 Apr 2022 • 11:02 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kedua-dua beradik itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Gambar ihsan polis

PETALING JAYA - Dua beradik perempuan maut selepas motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori tiga tan, di sini malam tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, nahas tersebut berlaku pada jam 9 malam tadi, ketika kedua-dua mangsa yang berusia 15 dan 11 tahun sedang melalui Jalan PJS 3/2 dekat Taman Medan.

Menurut beliau, motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum dilanggar lori berkenaan.

“Kedua-dua beradik itu yang merupakan penduduk tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mereka dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, punca nahas masih belum dapat dipastikan.

“Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian ketika nahas berlaku diminta hadir ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rozilah Hussin di nombor 016 2679025 untuk membantu siasatan,” katanya. - Getaran, 27 April 2022