
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan merekodkan sebanyak 367 kes kebakaran di negeri ini membabitkan kerugian berjumlah RM78 juta, sejak Januari hingga 26 April tahun ini.
Pengarahnya Zainal Madasin berkata kebanyakan kes melibatkan rumah kediaman dan premis perniagaan manakala jajahan Kota Bharu, Bachok dan Tumpat merupakan antara kawasan paling kerap berlaku kebakaran.
“Sebanyak 125 kes kebakaran direkodkan pada Januari, 90 kes (Februari), 78 kes (Mac) dan 74 kes setakat 26 April 2022.
“Hasil siasatan, kita mendapati kejadian kebakaran ini berlaku disebabkan beberapa faktor seperti cuaca (kemarau), kecuaian dan litar pintas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Ops Raya JBPM di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal berkata sepanjang tempoh itu juga sebanyak tiga kes kematian dicatatkan akibat kebakaran.
“Bagi jumlah keseluruhan panggilan yang direkodkan pula, meliputi panggilan seperti kebakaran, menyelamat dan tugas-tugas khas dalam tempoh berkenaan, adalah 1,742 panggilan,” katanya.-Bernama
