Firefly: Laluan Pulau Pinang-Kota Kinabalu dijangka lonjak jumlah pelancong

12 Apr 2022 • 12:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pembukaan laluan penerbangan baharu antara Kota Kinabalu-Pulau Pinang melalui syarikat penerbangan Firefly, diyakini merancakkan kedatangan pelancong dari negeri utara Semenanjung ke Sabah.

Menyatakan hal itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata ia sebagai tambahan kepada penerbangan sedia ada ke Sabah, iaitu dari Terengganu di Pantai Timur dan Johor di Selatan.

“Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada Firefly kerana memilih laluan Kota Kinabalu dan ini adalah penerbangan julung kalinya (Firefly) ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penumpang penerbangan pertama Firefly Pulau Pinang-Kota Kinabalu di sini pada Isnin.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pegawai Operasi MASwings merangkap wakil Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) Kapten Nasaruddin A. Bakar.

Sementara itu, Nasaruddin berkata permintaan terhadap penerbangan Firefly amat menggalakkan, apabila mencatatkan sehingga 80 peratus tempahan tiket menjelang musim perayaan ini.

Beliau berkata kenaikan harga tiket, adalah bergantung kepada permintaan, waktu, tarikh serta kekosongan tempat duduk yang ada.

“Kami nasihatkan kepada penumpang agar membuat tempahan awal tiket penerbangan,” katanya sambil memaklumkan seramai 100 penumpang tiba dari Pulau Pinang-Kota Kinabalu dan 116 orang dari Kota Kinabalu-Pulau Pinang.

Terdahulu memetik laporan media, syarikat penerbangan komersial tempatan yang menyediakan laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching, menawarkan tiket antara RM300 untuk penerbangan pergi balik, semasa musim bukan perayaan.

Bagaimanapun, pemantauan Bernama terhadap laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan, tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan sekitar 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (29 April hingga 8 Mei).

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.