Fahmi Reza Bebas Reman

16 Apr 2022 • 4:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fahmi Reza dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini. - Gambar dari Twitter Fahmi Reza

KUALA LUMPUR - Artis grafik kontroversi, Fahmi Reza yang direman bagi membantu siasatan berhubung karikatur monyet berseragam istana berwarna kuning dimuatnaik di media sosialnya, dibebaskan hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Fahmi menerusi ciapan di Twitter hari ini, sebaik dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam hantaran ciapan itu, Fahmi secara sinis ‘memuji’ layanan diterima sepanjang dia ditahan di lokap IPD Dang Wangi.

“Aku dah ‘check out’ (daftar keluar) dari hotel (lokap) Dang Wangi! Pakej penginapan 2 hari 1 malam ‘courtesy of Mojo Jojo’!

“Lokasi yang menarik, persekitaran sempurna dan kebajikan hebat. Makanan juga sedap, siap dapat pakej sahur dan iftar dihantar ke bilik.

“Akan datang semula nanti pada masa akan datang. Aku bagi empat bintang,” katanya.

Semalam, Fahmi ditahan di IPD Dang Wangi, sebelum direman selama sehari bagi membantu siasatan kes karikatur berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, hantaran karikatur monyet itu mendapat 12,000 maklum balas, 3,400 komen dan 966 perkongsian sejak dimuat naik Rabu lalu.

Beliau berkata, hantaran itu juga mengundang kemarahan warganet yang menyifatkan tindakan terbabit sebagai keterlaluan.

Katanya, siasatan kes itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/ Undang-undang (D5), JSJ, Bukit Aman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. - Getaran, 16 April 2022