Beberapa hari lepas naik isu tentang seorang usahawan muda yang dikatakan berjaya kerana merupakan anak kepada sepasang Dato’ dan Datin. Ramai warganet di sosial media memetik nama beliau dan menyatakan “untungnya” berjaya pada usia muda — iaitu pada usia 19 tahun (beberapa tahun lalu) — kerana beliau anak seorang kenamaan dan dapat bantuan wang.
Namun, benarkah perkara tersebut?
Usahawan muda yang saya maksudkan di atas ialah saudara Azzim Zahid Azmi, pengasas jenama baju Melayu “Bulan Bintang”. Sebelum saya dapat tahu tentang pengasas jenama baju Melayu ini, saya akui, saya sendiri pernah membeli baju Melayu jenama ini untuk raya tiga tahun lepas — walaupun waktu itu jenama baju Melayu ini belum dikenali ramai seperti sekarang, tetapi saya selesa dengan tekstur kain yang digunakan, warnanya yang cocok dengan “tema raya” keluarga saya dan harganya yang sesuai dengan situasi isi dompet saya ketika itu.

Dulu kena pikul iron steam tu naik motor dari warehouse bawak gi meniaga kat Uptown Danau.
Semalam, officially bukak butik brand sendiri. Alhamdulillah. Lama gak aku nak proses perasaan ni. Terima kasih yang support aku dari dulu.
Jemput datang kedai!! @bulanbintanghq pic.twitter.com/SQ65ejo2nU
Walaupun saya tidak mengenali pengasas jenama pakaian ini ataupun keluarganya, namun persoalan saya disini ialah, benarkah apa yang dikomen seorang warga Facebook bahawa disebabkan saudara Azzim seorang “anak orang kaya, patutlah bisnes menjadi?”
Tak dinafikan, menjadi anak kepada orang yang berkemampuan terdapat beberapa faedahnya. Tetapi, seperti kebanyakan perkara di dalam dunia ini, setiap satu-satu pekerjaan itu terdapat pro dan kontra (kebaikan dan keburukan).
Mungkin apabila anda anak kepada ibu bapa yang berkemampuan, ibu bapa anda akan membantu anda sedikit sebanyak dalam bab modal, tetapi untuk anda berjaya dalam pekerjaan atau bidang yang anda ceburi itu, ia terpulang 100% kepada usaha dan kebijaksanaan anda sendiri. Malah, benda paling asas iaitu pengetahuan dalam pengurusan perniagaan juga perlukan sedikit sebanyak pengalaman dan pengetahuan. Mungkin pengalaman dan pengetahuan itu diperoleh dengan melihat “jatuh dan bangun” orang sekeliling anda dalam dunia perniagaan, atau mungkin ia diperoleh dengan telahan bahan rujukan dan nasihat keluarga dan sahabat yang pernah mengalami situasi susah payah dalam dunia perniagaan. Apa-apa pun, bukan mudah untuk seseorang yang “kosong” ilmu untuk berjaya dan mampu bertahan dalam dunia perniagaan — terutamanya jika ia memakan modal yang besar ataupun apabila berjaya mendapatkan keuntungan yang besar.
Jangan samakan setiap orang berkemampuan itu di dalam kelompok yang sama. Bukan semua ibu bapa yang normal akan menggunakan “kabel” untuk membantu anak-anak mereka, walaupun jika mereka tahu anak mereka tidak mampu dari segi mental ataupun fizikal. Ini kerana terdapat ramai orang diluar sana yang masih percaya bahawa “berikan seekor ikan kepada seseorang dan dia kenyang makan sehari tetapi ajar seseorang itu memancing maka dia akan dapat mencari makan sendiri.”
Cuma disini yang boleh saya simpulkan, kelebihan seseorang yang datang dari keluarga yang berkemampuan ialah:
- Ibu bapa berkemampuan yang mempunyai pekerjaan yang baik dan pengalaman yang luas bagi membantu menasihati, memimpin, dan memberi semangat yang perlu kepada anak-anak.
- Ibu bapa mungkin mampu memberi sedikit bantuan modal kepada anak bagi memulakan perniagaan supaya anak tidak perlu bimbang dengan bebanan hutang keatas institusi pinjaman atau perbankan.
- Sekiranya anak tidak berjaya dalam usahanya yang pertama dan terjatuh, anak tersebut mungkin mempunyai “comfort cushion” dan boleh bangun kembali lebih cepat.
Apa yang penting, tidak kira sekiranya seseorang itu datang dari keluarga yang berkemampuan atau tidak, setiap daripada mereka perlu ada usaha, ilmu, dan tekad yang kuat. Mungkin seseorang dari keluarga kurang berkemampuan akan memakan masa yang kurang untuk berjaya dibandingkan dengan yang kurang berkemampuan tetapi apabila mereka sudah berjaya di puncak sana, pasti kejayaan yang diperoleh itu berasa “bittersweet”.
Mari kita bantu membantu sesama kita. Apabila kita sudah berjaya, pimpinlah tangan anak bangsa yang mempunyai usaha dan keyakinan yang tinggi untuk sama berjaya seperti kita. Buang dengki dan benci pada kelebihan orang lain tetapi jadikan ia sumber semangat dan tekad kita untuk berjaya seperti mereka — atau lebih daripada itu.
Selamat berjaya dalam apa yang anda ceburi dan impikan!
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.


