
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri perlu membina lebih banyak Rumah Mesra Rakyat (RMR) di kawasan yang tersenarai sebagai daerah termiskin di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pertimbangan perlu dibuat antara daerah yang telah meningkat maju berbanding kawasan yang dikategorikan sebagai daerah termiskin.
Menerusi satu kenyataan Ahad, beliau menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Jumaat lalu mengenai pengagihan Geran Khas RM125.6 juta dari Kerajaan Persekutuan untuk membina RMR di kesemua 73 kawasan DUN.
“Kita berharap Ketua Menteri lebih mengutamakan ke arah membasmi kemiskinan menerusi pembinaan RMR sebagai inisiatif Sabah Maju Jaya.
“Langkah ini akan memberi peluang kepada rakyat yang masih berada di paras kemiskinan untuk memiliki rumah mampu milik dengan harga lebih rendah, “ kata Masiung.
Menerusi kajian Jabatan Perdana Menteri tahun lalu, Tongod, Pitas dan Kota Marudu merupakan tiga daerah yang mencatat rekod kemiskinan tertinggi di Malaysia melebihi kadar 50 peratus, diikuti oleh Beluran dan Telupid.
Sabah menduduki tempat teratas sebagai negeri paling miskin di negara ini dengan 19.57 peratus, berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.
Selepas Sabah, negeri kedua tertinggi kadar tertinggi kemiskian ialah Kelantan diikuti Sarawak, Perlis dan Kedah.
Dalam perkembangan lain, kakitangan kerajaan di Sabah berpeluang memiliki rumah mampu milik sebaik Kerajaan Negeri membina perumahan khusus bagi penjawat awam bermula tahun ini.
Masiung, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, satu kawasan seluas 136 ekar di Kampung Kopimpinan dan Kawang, Papar telah diwartakan untuk projek itu.
“Kerajaan Sabah pada dasarnya telah bersetuju membina sekurang-kurangnya 370 unit rumah berkonsepkan rumah mampu milik dan ia sedang dalam proses kelulusan kabinet negeri,” katanya sejurus melawat tapak projek itu, Sabtu.
Menurut Masiung, cadangan membina taman perumahan penjawat awam itu diletakkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) yang disenaraikan menerusi program halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“LPPB yang dilantik sebagai pelaksana projek itu kini dalam peringkat akhir menyediakan dokumentasi, termasuk anggaran kos projek dan harga rumah mengikut saiz.
“Sekurang-kurangnya kita menyediakan tiga konsep rekabentuk rumah mengikut ketegori serta kelayakan penjawat awam yang bakal jadi pembeli, “ jelasnya.
Masiung turut mengarahkan juru perunding agar mengubahsuai konsep asal kepada rekabentuk moden, sesuai dengan bentuk muka bumi berbukit di tapak projek itu yang hendak dikekalkan tanpa menjejaskan keindahan alam semula jadi.
Beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berhubung cadangan itu dan mendapat arahan untuk melaksanakan projek berkenaan selewat-lewatnya pada pertengahan tahun ini.
“Saya telah mengeluarkan arahan kepada pegawai terbabit termasuk jurutera kanan dan juru perunding untuk menyiapkan dokumentasi secepat mungkin, “ tambahnya.
Beliau akan memanggil mesyuarat khas bersama JPAN, Jabatan Tanah Tanah dan Ukur (JTU) dan Unit Perancang Bandar dalam masa terdekat dan menentukan tarikh pecah tanah yang dijangka akan dilakukan oleh Ketua Menteri.
Turut hadir dalam lawatan tapak itu adalah Pengurus Besar LPPB, Rosemary Aping dan Pegawai Tanah LPPB, Isidore Lajawah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

