MOT siasat kenaikan harga tiket penerbangan

15 Apr 2022 • 3:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan (MOT) telah meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan segera menjalankan siasatan secara terperinci dan menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau memaklumkan perkara itu semasa mempengerusikan mesyuarat khas semalam, melibatkan MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat penerbangan domestik bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat.

Keluhan itu berhubung kenaikan harga tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata CAAM telah meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan dan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutama menjelang musim perayaan.

"MOT akan berusaha sedaya upaya menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. MOT melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

"Peningkatan ini adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutama kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.

"Mekanisme penetapan harga dinamik juga menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam proses menentukan harga tambang, bukan secara manual untuk menaikkan harga seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau menjelaskan syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik Covid-19.

Katanya pesawat-pesawat penerbangan perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebelum pesawat diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat.

Ka Siong berkata, bagi bulan ini, kekerapan penerbangan ke Sabah dan Sarawak masih rendah iaitu hanya pada tahap 68 peratus berbanding 2019. - Bernama