Sempadan Dibuka Semula, Kedai Tom Yam Jadi Tumpuan

2 Apr 2022 • 11:58 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar: Alif Omar

Penantian rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air dan ke luar negara sejak sempadan ditutup akibat pandemik COVID-19 dua tahun lepas berakhir apabila ia dibuka semula tengah malam tadi.

Tinjauan Bernama di platform media sosial mendapati sejak semalam, ia dibanjiri pelbagai video dan status perkongsian warganet yang meluahkan perasaan gembira serta terharu setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian. 

Rata-Rata mereka ada yang sudah lama tidak bertemu keluarga dan tidak kurang juga gembira kerana boleh meneruskan pekerjaan sekali gus memanjatkan kesyukuran dapat mencari rezeki di luar negara semula.

Perkongsian yang menarik perhatian ialah berkaitan pembukaan semula sempadan Malaysia-Thailand kerana terdapat segelintir warganet berkongsi keterujaan mereka untuk kembali menikmati makanan di kedai tom yam di negara jiran itu.

“Bro today border Malaysia-Thailand dah buka, kedai tomyam is healing,” kata Izzi melalui ciapan di akaun Twitternya @IzzRaifHarz.

Kebiasaannya rakyat Malaysia akan menikmati makanan Thailand di kawasan berhampiran sempadan seperti Danok dan Hat Yai.

Selain itu, kebanyakan tukang masak dan pekerja dari Thailand tidak dapat pulang ke Malaysia untuk meneruskan operasi restoran tom yam di negara ini susulan penularan COVID-19.

Ada juga segelintir warganet dilihat terlalu emosi terutama ahli keluarga yang terpisah lama susulan penutupan sempadan. 

Pengguna Twitter Annis (@Farhaizaa) berkata: “Aku tak faham dengan emosi aku sekarang. Tengok border Singapore-Malaysia buka ramai rider tunggu nak keluar border pun aku boleh menangis but bro imagine bertahun tak jumpa parents/family brooo.”

Seorang lagi pengguna Twitter Hazrin Hafetz Roslan (@HazrinHafetz) pula meluahkan rasa gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin atas pembukaan semula sempadan yang memberi peluang kepadanya untuk mencari rezeki di Singapura setelah dua tahun kehilangan pekerjaan di republik itu.

“Dah dua tahun hilang kerja di Singapura, now it's time for me to earn good money again, thank you @Khairykj for doing this,” katanya. 

Negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik mulai hari ini dengan beberapa kelonggaran antaranya pembukaan semula sempadan negara, premis perniagaan boleh beroperasi mengikut masa lesen perniagaan masing-masing serta tiada penjarakan fizikal semasa solat di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat lain. - Bernama