15 kawasan di Kuala Lumpur alami gangguan air

24 Apr 2022 • 5:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Sebanyak 15 kawasan di Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kejadian paip pecah di rumah pam di Taman Muda, Cheras di sini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kemas kini di Facebook berkata, kerja-kerja pembaikan paip pecah dilaksanakan bermula jam 3 petang pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembaikan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada jam 3 pagi Isnin.

"Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.

image is not available

"Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual," menurut kenyataan itu pada Ahad.

Lokasi terjejas termasuk Bukit Permai Industri, Kampung Cheras Baru, Pandan Bistari, Taman Bukit Pandan, Taman Bukit Permai dan Taman Bukit Teratai.

Turut terjejas Taman Mawar, Taman Mega Jaya, Taman Melur, Taman Mestika, Taman Muda, Taman Pandan Mewah, Taman Putra, Taman Saga dan Taman Seraya.