Iklan pakej taubat: Tindakan lanjut akan diambil

23 Apr 2022 • 10:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan tindakan lanjut akan diambil susulan penularan iklan pakej taubat RM20 bagi satu penama baru-baru ini.

Idris menerusi hantaran di laman Twitter memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan iklan itu untuk memaklumkannya kepada beliau.

Menurutnya, Islam sama sekali tidak pernah menawarkan perkhidmatan sedemikian.

“Mohon maklumkan butiran kepada saya untuk tindakan lanjut. Ternyata perkara seperti ini bukan anjuran dalam Islam,” katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, tular satu hantaran iklan pakej taubat bagi satu penama dengan harga RM20.

Ketua Jabatan Pengajian Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Muhammad Rozaimi Ramle berkata, rukun bagi perbuatan taubat hanya memerlukan orang yang berdosa sahaja untuk melaksanakannya.

Pada 2017, media juga pernah melaporkan satu isu berhubung perkhidmatan valet doa yang menyediakan khidmat untuk menyampaikan doa-doa ke Tanah Suci pada kadar antara RM500 hingga RM2,500.