5 Resepi Menu Raya yang Cepat dan Mudah untuk Disediakan

Cooking
26 Apr 2022 • 9:00 AM MYT
Duan Deris
Duan Deris

Duan Deris adalah pekebun separuh masa dan penulis bebas di cariblogger.com

image is not available

Tirai Ramadan kian berlabuh, debaran Aidilfitri semakin dinantikan. Rasanya seperti baru sahaja mula berpuasa tapi tak disangka-sangka waktu berjalan begitu pantas, pejam celik dah nak raya rupanya.

Ketika berpuasa asyik terfikirkan apa juadah untuk berbuka dan bersahur, selepas ini pasti ramai yang sibuk mencari-cari resepi untuk menu raya pula. Harus yang enak-enak, biar dikenang tetamu yang datang.

Namun sekiranya tetamu datang pada waktu yang tak dijangka, boleh pening kepala dibuatnya. Andai anda sering mengalami situasi seperti ini, usah bimbang. Berikut adalah beberapa menu raya yang cepat dan mudah untuk disediakan. Selamat mencuba!

1. Nasi Impit Kuah Kacang

Ini adalah resepi yang paling cepat, mudah dan sedap. Apa yang penting, bahan asas seperti ketupat nasi segera harus sentiasa siap tersedia di dapur. Hatta kuah kacang segera pun ada dijual di pasaran. Kini boleh dikatakan semuanya segera belaka.

Bahan-bahan

  • Sepaket Ketupat Nasi Adabi
  • 200-300gram kacang tanah (Digoreng dan dikisar kering)
  • 2-3 batang serai (Dikisar halus)
  • 3 inci halia (Dikisar halus)
  • 2-3 biji bawang besar (Dikisar halus)
  • 2 sudu besar pes asam jawa (Dicampur dengan secawan air)
  • 3-4 sudu besar cili boh (Boleh tambah jika mahu lebih pedas)
  • Seketul kecil gula Melaka
  • Sedikit santan
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Garam secukup rasa

Cara penyediaan

  • Untuk nasi impit mudah sahaja. Rebuskan Ketupat Nasi Adabi dan toskan sahaja.
  • Untuk kuah kacang, panaskan minyak di dalam kuali dan tumis serai, halia, bawang dan cili boh sehingga pecah minyak.
  • Masukkan air asam jawa ke dalam kuali sedikit demi sedikit. Yang ini ikut rasa dan selera masing-masing. Jika suka masam boleh letak lebih.
  • Kemudian masukkan pula gula Melaka. Yang ini pun sama, ikut selera masing-masing. Jika suka manis boleh letak lebih.
  • Seterusnya boleh masukkan sedikit santan serta garam secukup rasa dan masak sehingga pecah minyak lagi sekali. Andai jika terlalu pekat, boleh masukkan sedikit air.
  • Siap. Kuah kacang sedia untuk dihidang bersama nasi impit.

2. Ayam Masak Merah

Ayam masak merah adalah salah satu resepi yang sering dinanti-nantikan tatkala Aidilfitri. Boleh dikatakan ianya adalah menu raya yang sangat universal. Sesuai dihidangkan bersama pelbagai juadah lain seperti nasi impit, ketupat, lemang dan sebagainya.

Bahan-bahan

  • 5 ketul ayam
  • 100gram tomato puree
  • 3 sudu besar cili boh (Boleh tambah jika mahu lebih pedas)
  • 1-2 biji bawang merah besar (Dikisar halus)
  • 3 ulas bawang putih (Dikisar halus)
  • 2 inci halia (Dikisar halus)
  • 2 batang serai (Dititik)
  • 1 kiub ayam Maggi
  • Minyak masak secukupnya
  • Sedikit garam dan serbuk kunyit
  • Sedikit daun sup untuk hiasan

Cara penyediaan

  • Kalau nak sedap, ayam harus digoreng dahulu. Perasakan dahulu ayam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit.
  • Masukkan minyak secukupnya dan kemudian goreng ayam ikut selera anda. Ramai suka ayam yang garing. Angkat dan toskan.
  • Dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dah serai sehingga wangi.
  • Kemudian masukkan pula tomato puree, cili boh dan kiub ayam Maggi dan tumis sehingga pecah minyak.
  • Perasakan dengan sedikit garam dan masukkan sedikit air jika kuah terlalu pekat.
  • Akhir sekali, masukkan ayam yang telah digoreng dan gaul ayam dengan kuah. Boleh taburkan daun sup untuk hiasan.

3. Daging Masak Hitam

image is not available
Photo by UtusanTV

Selain ayam masak merah, menu daging masak hitam juga merupakan salah satu menu raya yang digemari ramai. Cara penyediaannya juga tidaklah serumit yang disangka.

Bahan bahan

  • 1kg daging (Dipotong kecil)
  • 1 botol kecil kicap Kipas Udang 345ml
  • 3 sudu besar cili boh (Boleh tambah jika mahu lebih pedas)
  • 1-2 biji bawang merah besar (Dikisar halus)
  • 3 ulas bawang putih (Dikisar halus)
  • 2 inci halia (Dikisar halus)
  • 2 batang serai (Dititik)
  • 1 kiub ayam Maggi
  • Seketul kecil gula Melaka
  • Minyak secukupnya
  • Garam secukup rasa

Cara penyediaan

  • Panaskan minyak secukupnya dan goreng daging sehingga bertukar warna.
  • Masukkan bawang merah, bawang putih, halia yang telah dikisar dan gaul sekejap.
  • Kemudian masukkan pula kiub ayam, cili boh, kicap dan serai dan masak sehingga pecah minyak.
  • Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula Melaka ikut selera masing-masing.
  • Siap, daging masak hitam siap untuk dihidang.

4. Spaghetti Bolognese

Pada waktu-waktu kecemasan, masa penyediaan sesuatu resepi sangat memainkan peranan. Resepi Spaghetti Bolognese adalah salah pilihan yang paling sesuai. Tak sampai 20 minit, hidangan sudah boleh dimakan. Mudah dan cepat!

Bahan-bahan

  • 250gram spaghetti
  • 250gram daging cincang
  • 1-2 biji bawang merah (Dicincang halus)
  • 2 ulas bawang putih (Dicincang halus)
  • 2-3 tangkai daun rosemary (Dicincang halus)
  • 1-2 sudu besar minyak zaitun
  • 5 sudu tomato puree
  • Sedikit garam

Cara penyediaan

  • Rebus spaghetti dengan sedikit garam. Toskan dan biarkan sehingga sejuk.
  • Panaskan minyak zaitun dan goreng daging cincang sehingga bertukar warna.
  • Masukkan bawang merah, bawang putih yang dicincang halus dan tumis sekejap.
  • Kemudian masukkan pula tomato puree dan masak sehingga mendidih.
  • Akhir sekali masukkan daun rosemary dan perasakan dengan sedikit garam.
  • Tuangkan sos Bolognese di atas spaghetti dan hidangkan.

5. Lontong Goreng

image is not available
Photo by Maggi.my

Resepi lontong goreng pun tidak kurang hebatnya. Selain mudah untuk disediakan, rasanya juga sedap tak kira masa dan situasi. Sangat sesuai dihidang untuk santapan tetamu yang hadir.

Bahan-bahan

  • Sepaket Ketupat Nasi Adabi
  • 200gram udang
  • 1-2 biji bawang merah (Dikisar halus)
  • 2 ulas bawang putih (Dikisar halus)
  • 2 sudu besar cili boh (Boleh tambah jika mahu lebih pedas)
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 3 biji telur
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Garam secukup rasa

Cara penyediaan

  • Rebuskan Ketupat Nasi Adabi. Toskan dan biarkan sejuk.
  • Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah, bawang putih yang telah dikisar halus sehingga wangi.
  • Masukkan cili boh, sos tomato dan sos tiram dan masak sehingga pecah minyak.
  • Kemudian masukkan udang sehingga bertukar warna.
  • Perasakan dengan sedikit garam.
  • Masukkan ketupat nasi dan gaul sehingga sekata.
  • Akhir sekali, pecahkan telur dan kacau sekata.


Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.