Iltizam Selangor Penyayang perkasa rakyat, bermula selepas Aidilfitri

18 Apr 2022 • 9:13 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

GOMBAK, 18 APRIL: Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi membantu rakyat menerusi beberapa inisiatif bakal dilaksanakan selepas sambutan Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan meliputi pelbagai skim itu berasaskan usaha memberdaya dan memperkasakan rakyat tanpa bergantung kepada Kerajaan Negeri.

“2008 kita bantu rakyat dengan kongsi kekayaan negeri. 2013 kita bantu dengan berikan apa yang rakyat pohon.

“2018 hingga sekarang kita ubah program. Kita mahu jadikan rakyat diupaya dan diperkasakan dalam setiap program,” katanya berucap di Majlis Iftar Perdana bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Gombak di Dewan Seri Siantan semalam.

Amirudin berkata menerusi ISP, lebih ramai penduduk bakal menerima manfaat antaranya 30,000 keluarga mendapat inisiatif Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

“Daripada RM200 mereka terima RM300 setiap bulan lepas raya ini. Begitu juga saringan kesihatan. Kita perluas kepada lelaki untuk kesan kanser kolon.

“Dahulu ada program Tunas (bantuan tadika) tetapi sekarang ANiS (Anak Istimewa Selangor). Hari ini kita dengan kes Bella (penderaan) berlaku. Menerusi ANiS, kita pantau rumah kebajikan dan latih penjaganya untuk elak kes Bella berlaku lagi,” katanya.

Amirudin sebelum ini berkata penjenamaan Inisiatif Peduli Rakyat kepada ISP seiring dengan penambahbaikan terhadap beberapa program bagi mengembangkan budaya kasih sayang dalam kalangan warga Selangor.