
LABUAN: Parti Warisan (Warisan) akan bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie berkata keputusan itu diambil bagi meneruskan saingan parti yang berpangkalan di Sabah itu di Semenanjung selepas kemunculan pertamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas.
“Bukan sahaja kami mahu mempertahankan kemenangan (PRU14) di peringkat negeri Sabah, bahkan juga mahu menawarkan diri di Semenanjung,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan dan Iftar Warisan Labuan, di kediaman Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, di sini, Jumaat malam.
Menurut Shafie, pucuk pimpinan parti itu akan meneliti kawasan Parlimen di Semenanjung yang berpontensi ditandingi dan boleh dimenangi pada PRU15 itu.
“Tidak ada ertinya meletakkan calon di semua kawasan parlimen di Semenanjung sekiranya hanya membawa kekalahan.
“Apabila Warisan bertanding dalam PRN Johor, kita tahu pada masa itu, masanya singkat, kita hanya ada tiga minggu untuk bersedia, bagaimanapun, kita berjaya memperolehi beribu undi daripada pengundi Johor.
“Apabila kita bertanding hari ini, ia tidak semestinya bermakna esok kita akan menang, ia akan mengambil masa,” katanya.
Shafie berkata parti yang mempunyai jentera dan kem yang besar tidak akan menjamin kemenangan yang besar pada pilihan raya.
“Contohnya, kita menyokong Pakatan Harapan membentuk kem besar pembangkang, namun kita kalah juga pada pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak meskipun Warisan menyokong. Ini bermakna, rakyat mempunyai pilihan (siapa yang mereka mahu sokong),” katanya.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang menyatakan kesediaan pembangkang meneruskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang selepas 31 Julai depan, Shafie berkata Warisan tidak pernah menyokong agar MoU itu diteruskan.
“Apa yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, itu adalah hak dia untuk bersuara, bagi saya, saya tidak setuju dari awal lagi, sebab itu saya tidak menandatanganinya,” katanya.
Pada Mac lepas, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat berkata pembangkang bersedia meneruskan MoU transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

