
LABUAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan menyambut baik pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor untuk memberi hak kepada penduduk Labuan, bagi menentukan sama ada kekal dalam Wilayah Persekutuan atau kembali semula di bawah Sabah sebagai sebuah daerah.
Ketua Penaja Armada Bersatu Labuan Walther Philip Michael berkata, meskipun dipersoal tentang pembangunan Labuan, namun penduduk pulau ini telah menikmati pelbagai keistimewaan di bawah Wilayah Persekutuan.
“Pelbagai keistimewaan itu serta-merta akan hilang kiranya Putrajaya melepaskan status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan untuk dikembalikan kepada Sabah,” katanya.
Walther berkata demikian dalam satu Diskusi Politik dan majlis berbuka puasa bersama pemimpin bahagian Bersatu Labuan di sebuah kelab golf di sini pada Jumaat.
Program yang dimaklumi Ketua Bahagian Datuk Suhaili Abdul Rahman itu diadakan bagi mengaktifkan semula Armada Labuan, sebelum ini diketuai Fadillah Eddy Abdul Khalid, yang bubar berikutan kegagalan menyempurnakan kehendak perlembagaan parti.
Turut hadir Pengerusi Tetap Abdul Harah @ Awang Asara, Naib Ketua Bahagian Hassan Jinin, Setiausaha Bahagian Masri Awang, Ketua Srikandi Juliana Hj Ibrahim, dan Ketua Penerangan Johari Abidin.
Walther, yang juga anak pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan, mendiang Philip Michael Pangang, menegaskan pelepasan status Wilayah Persekutuan Labuan akan mengembalikan semula pentadbiran Labuan di bawah Majlis Perbandaran.
Menurut Walther, kemampuan majlis perbandaran sudah pasti jauh lebih kecil berbanding Perbadanan Labuan sekarang yang ditadbir Ketua Pegawai Eksekutif, dibantu timbalan dan pengarah pelbagai jabatan.
Impak ketara, kata Watlher, adalah pentadbiran jabatan-jabatan awam lainnya akan turun seperti Pengarah Jabatan Pendidikan kepada Pegawai Pendidikan Daerah, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jurutera Daerah, Pengarah Jabatan Pertanian kepada Pegawai Pertanian Daerah dan seumpamanya.
“Tidak dinafikan landskap geografi Labuan dalam Wilayah Persekutuan telah menampakkan naik taraf kemudahan infrastruktur 100 peratus jalan berturap, malahan sehingga jalan-jalan kecil menyambung ke depan pintu rumah penduduk,” katanya.
Walther bagaimanapun memberi maklum balas positif atas cadangan mengembalikan Labuan kepada Sabah seperti yang disentuh dalam perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bulan lalu.
“Beberapa langkah perlu diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk mendapat keyakinan penuh penduduk Labuan untuk kembali semula ke bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.
“Antaranya ialah meningkatkan pelaburan Kerajaan Sabah di Labuan, memperluas peranan agensi-agensi kerajaan Sabah ke Labuan, memajukan aset hartanah Yayasan Sabah di Labuan dan melantik wakil dari Labuan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun),” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



